Kematian tragis pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir mencetuskan gelombang simpati dan kemarahan rakyat terutama selepas dikaitkan dengan dakwaan buli di sekolah terbabit.
Tanda pagar #JusticeForZara digunakan secara meluas di media sosial sebagai isyarat solidariti menuntut keadilan dan siasatan telus, namun pada masa sama terdapat pelbagai penyebaran maklumat yang bercampur antara fakta dan fitnah.
Lebih malang, banyak dakwaan yang tersebar telah dipolitikkan, dimanipulasi dan disebarkan secara tidak bertanggungjawab di media sosial termasuk kononnya anak orang kenamaan (VIP) turut terlibat dalam kes berkenaan.
Kronologi kes
Kronologi kes ini yang bermula dengan insiden Zara Qairina, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan pada 16 Julai telah melalui beberapa fasa penting termasuk pengebumian tanpa bedah siasat, siasatan semula oleh pihak polis, penggalian semula kubur, bedah siasat kedua oleh empat pakar forensik dan penyerahan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sidang akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengenai perkembangan kes ini pada 13 Ogos lalu mendedahkan beberapa fakta penting iaitu punca kematian Zara pada awalnya dikenal pasti sebagai kecederaan otak yang disebabkan kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.
Kumar berkata, terdapat ketidakpatuhan siasatan di mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk bedah siasat mangsa dan polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat tersebut serta ketua bahagiannya.
Siasatan pasukan task force berhubung kematian Zara turut menjurus ke arah berlakunya buli sebelum kejadian hasil keterangan yang dirakamkan dan dapatan siasatan.
Polis juga mendapati terdapat persetujuan atau permohonan ibu mangsa supaya bedah siasat tidak dibuat dan persetujuan itu direkodkan dengan tanda tangan di dalam satu surat atau dokumen yang dikeluarkan oleh pihak hospital yang turut ditandatangani oleh doktor patalogi serta pegawai penyiasat.
Kumar menegaskan, siasatan yang dilakukan pihak polis juga tidak menemui sebarang kaitan kes berkenaan dengan VIP.
Terkini, Mahkamah Koroner Kota Kinabalu telah menetapkan prosiding inkues selama 19 hari bermula 3 September 2025, melibatkan sehingga 195 saksi termasuk ibu Allahyarhamah, pelajar dan guru sekolah. Inkues ini bertujuan menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud unsur jenayah.
Selain itu, lima remaja perempuan bawah umur telah didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela dan kata-kata kesat terhadap Zara.
Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dalam prosiding yang dikendalikan Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus.
Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan 16 Oktober bagi tarikh sebutan semula yang kedua.
Penyebaran khabar angin
Selepas kematian Zara, media sosial dan perbualan awam mula dipenuhi dengan pelbagai tuduhan serta spekulasi bagi menarik perhatian orang ramai.
Antara khabar angin, tuduhan dan spekulasi yang dikenal pasti ialah dakwaan Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh, tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa, tuduhan wujud campur tangan VIP atau VVIP dalam siasatan, wujud ‘cover-up’ atau penutupan kes oleh pihak berkuasa dan kerajaan cuba menutup atau melengahkan siasatan kes.
Nama dan gambar pelajar serta guru yang dituduh terlibat dalam kes ini juga disebarkan dan terdapat juga beberapa video serta ulasan mendakwa Zara mengalami kecederaan dalaman akibat perbuatan tertentu.
Wujud juga tuduhan bahawa siasatan awal sengaja ditangguhkan atau disembunyikan, video keluarga Zara menjerit-jerit, VVIP masuk ke bilik bedah siasat, Menteri Pendidikan lambat bertindak, pelajar bernama Nurul Qurratu Aini terlibat sebagai pembuli dan laporan bedah siasat dibocorkan oleh pakar perubatan rasmi.
Di samping itu, anak Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah juga dituduh terlibat selain salah seorang pembuli dikatakan cucu Yang di-Pertua Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, penyebaran banyak berita palsu dalam kes kematian Zara bukan sahaja boleh mengganggu siasatan bahkan lebih teruk ia boleh mengelirukan rakyat dan melukakan hati waris.

Katanya, pelbagai maklumat yang tidak sahih memberi cabaran kepada polis dalam menyelesaikan kes kerana siasatan yang dilakukan belum selesai.
“Ada perkara yang polis tidak boleh kongsi dan masih tidak boleh sahkan beberapa berita tersebar sama ada palsu atau tidak kerana siasatan belum selesai. Oleh kerana siasatan belum selesai maka, kertas siasatan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Melainkan ada perkara yang di dalam siasatan polis telah didapati palsu seperti dakwaan guru Bahasa Inggeris (BI) yang mengatakan mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh itu, jadi perkara itu telah disahkan palsu,” katanya.
Beliau menegaskan, bagi memastikan kelancaran siasatan dalam kes rumit sebegitu seharusnya semua pihak perlu menunggu keputusan Mahkamah Koroner Kota Kinabalu yang akan bersidang bermula 3 September depan.
Menurutnya, koroner akan menyenaraikan fakta lengkap mengenai kes kematian Zara dari A hingga Z berdasarkan keterangan saksi, penemuan mengenai sebab dan punca kematian, bila kejadian, siapa yang mungkin terlibat dan sebagainya.
“Koroner bukan mahu mencari salah tetapi mahu cari punca dan sebab kematian untuk menentukan sama ada wujud atau sebaliknya kesalahan jenayah.
“Kalau ada kesalahan jenayah maka koroner akan cadangkan polis teruskan siasatan jenayah berkaitan peristiwa berkenaan,” ujarnya,
Mohamed Haniff Khatri memberitahu, dakwaan-dakwaan liar seperti kes kematian itu melibatkan anak menteri Sabah yang juga cucu kepada TYT Sabah juga dilihat semata-mata mahu menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap sistem pelaksanaan undang-undang iaitu polis.
“Mereka yang sebarkan dakwaan tidak berasas ini cuma mahu ambil peluang atau kegundahan dan kerisauan rakyat. Ini umpama tuang petrol atas api. Alasan yang diberi bila tertangkap juga langsung tidak munasabah, contohnya dalam kes cikgu BI ditangkap, dia dakwa maklumat yang disebar hanya sekadar ‘content’.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan berpandangan, kes kematian Zara telah dipolitikkan daripada segenap sudut apabila banyak tuduhan-tuduhan liar disebarkan terutamanya apabila ada dakwaan bahawa polis tidak menjalankan siasatan selain kes dikaitkan dengan VIP atau VVIP.

“Cara ia dipolitkkan menjuruskan kepada prestasi kerajaan semasa dan bagaimana mereka menangani isu kematian Adik Arwah Zara ini bagi membentuk persepsi bahawa pentadbiran kerajaan lemah dan tidak mampu kawal isu ini.
“Sedangkan kita tahu hakikat sebenar adalah sebaliknya kerana kita lihat pihak berkuasa berusaha keras mengendalikan kes ini berdasarkan tindakan-tindakan yang telah diambil setakat ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, tuduhan yang mengaitkan kes tersebut dengan kepimpinan kerajaan negeri Sabah juga dilihat seolah-olah satu cubaan untuk mempengaruhi rakyat supaya menolak kepimpinan negeri tersebut apatah lagi mereka bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Tegasnya, dalam apa juga kes yang melibatkan nyawa atau apa juga kes besar lain sekalipun, ia tidak sepatutnya dipolitikkan kerana perkara lebih penting ialah untuk memastikan kes dapat diselesaikan.
Dalam berhadapan dengan kes berkenaan, Ariff Aizuddin berkata, Kerajaan Negeri Sabah juga dilihat sudah melakukan tindakan yang sepatutnya terutamanya apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengeluarkan kenyataan rasmi menyatakan simpati dan menyeru siasatan telus.

Katanya, Hajiji bersama isteri turut melakukan ziarah secara peribadi ke rumah ibu Zara, Noraidah Lamat di Sri Gaya, Kota Kinabalu untuk menyampaikan takziah.
Bagi membetulkan persepi awam juga, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar menafikan dakwaan kerajaan negeri tidak prihatin insiden terbabit selain kerajaan negeri juga memberi laluan penuh kepada siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman terhadap pegawai polis negeri.
Malah, kerajaan negeri turut mengadakan Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri di semua masjid dan surau selepas solat Maghrib pada 14 Ogos lalu yang mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah Zara.
Buka mata
Kes Zara sebenarnya telah membuka mata masyarakat terhadap kepentingan ketelusan, keadilan dan etika dalam menyampaikan maklumat kerana di sebalik gelombang simpati dan kemarahan, wujud juga cabaran besar bagaimana untuk membezakan antara fakta dan fitnah, antara solidariti serta sensasi.
Semua pihak termasuk pengguna media sosial, pempengaruh dan pemimpin politik perlu terus memainkan peranan dalam memastikan naratif yang disampaikan adalah sahih, beretika, tidak menjejaskan siasatan atau menggores perasaan waris.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.