Sabah kini berada di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, sekali gus membuka gelanggang baharu persaingan antara parti-parti utama.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pasti mahu mempertahankan mandat, manakala Perikatan Nasional (PN) dan Warisan akan memanfaatkan momentum untuk mencabar kedudukan sedia ada.
Namun, fokus besar tertumpu kepada Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengambil langkah berisiko tinggi dengan enggan bekerjasama dengan GRS.
Bung Moktar juga secara terbuka menyatakan hasrat untuk menjadi Ketua Menteri Sabah. Walau bagaimanapun, kenyataan itu menimbulkan tanda tanya besar sama ada beliau benar-benar layak memikul tanggungjawab tersebut, memandangkan isu integriti dirinya masih belum selesai.
Bung Moktar kini masih berdepan tiga pertuduhan rasuah bersama isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, berhubung pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Jumlah rasuah yang didakwa terlibat adalah sebanyak RM2.8 juta.
Pada September 2022, Mahkamah Sesyen memutuskan wujud kes *prima facie* dan mengarahkan mereka membela diri, malah Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan untuk mengetepikan arahan tersebut.
Dalam pembelaannya, Bung Moktar mendakwa tidak tahu bahawa sejumlah wang jutaan ringgit telah dimasukkan ke dalam akaun isterinya hampir 10 tahun lalu.
Namun dari sudut logik, sukar untuk rakyat menerima alasan bahawa seorang suami lebih-lebih lagi seorang ahli politik berprofil tinggi tidak menyedari kemasukan wang sebesar itu.
Persepsi umum melihat kenyataan tersebut sebagai melemahkan kredibilitinya, sekali gus mengukuhkan tanggapan bahawa beliau cuba mengelak tanggungjawab.
Implikasi kepada UMNO/BN di Sabah
Dalam suasana politik Malaysia yang semakin menuntut kepimpinan berintegriti, kes mahkamah Bung Moktar kemungkinan besar memberikan imej negatif kepada UMNO.
Rakyat Sabah yang sudah lama muak dengan isu rasuah berkemungkinan besar menjadikan perkara ini sebagai faktor penentu undi.
Keadaan itu pastinya menjejaskan strategi BN untuk bersaing dengan GRS, PN dan Warisan pada kempen PRN Sabah nanti.
Dengan kes rasuah yang masih berjalan, keupayaan BN untuk menampilkan dirinya sebagai parti alternatif berwibawa semakin lemah. Sebaliknya, parti lain akan menggunakan isu ini sebagai ‘senjata politik’ untuk menyerang BN sepanjang kempen.
Malah kepimpinan Bung Moktar sendiri mula dipersoalkan apatah lagi dengan Hasrat beliau mahu menjadi Ketua Menteri Sabah, yang mungkin dilihat sebagai keterlaluan dan tidak realistik.
Rakyat sukar menerima seorang pemimpin yang masih berdepan kes rasuah sebagai calon utama, apatah lagi untuk jawatan tertinggi negeri.
Tidak mustahil UMNO/BN bakal berdepan dengan krisis dan risiko kehilangan sokongan pengundi muda dan bandar.
Golongan ini biasanya lebih sensitif terhadap isu integriti. Mereka melihat pemimpin yang terpalit kes rasuah sebagai simbol politik lama yang sudah tidak relevan dengan aspirasi rakyat Sabah.
Bukan itu sahaja ia juga sedikit sebanyak merosakkan imej nasional UMNO/BN kerana isu berkenaan bukan hanya terhad di Sabah.
Jika Bung Moktar terus dipertahankan, ia memberi isyarat bahawa UMNO/BN masih gagal melakukan reformasi dalaman yang serius untuk membuang imej ‘parti sarat dengan kes rasuah.’
Secara keseluruhan, kes mahkamah Bung Moktar bukan sekadar masalah peribadi seorang individu, tetapi memberi kesan domino terhadap peluang UMNO/BN dalam PRN Sabah.
Ia melemahkan kredibiliti parti, menjejaskan kepercayaan rakyat, dan membuka ruang luas untuk lawan politik memanipulasi isu ini bagi menutup peluang BN untuk kembali berkuasa.
Sehubungan itu, penganalisis politik, Azizi Safar berkata, tindakan Bung Moktar menawarkan diri sebagai calon Ketua Menteri Sabah menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding meningkatkan keyakinan rakyat.

Menurutnya, ini kerana kes mahkamah beliau yang masih berjalan khususnya melibatkan tuduhan rasuah hakikatnya menghakis kepercayaan rakyat terhadap BN Sabah secara keseluruhannya.
Beliau berkata, ia akan memberi kesan kepada persepsi awam terhadap Bung Mokhtar dan juga UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
“Jadi ia akan menimbulkan persepsi negatif terhadap isu integriti dan kredibiliti. Sudah pasti perkara tersebut jadi bahan perbincangan rakyat.
“Walaupun Bung Mokhtar belum disabitkan kesalahan, persepsi rakyat tetap membayanginya selagi beliau gagal meleraikan perkara negatif ini. Tawaran diri sebagai Ketua Menteri hanya akan menjadi liabiliti kepada UMNO, bukannya aset,” jelasnya.
Lebih mengeruhkan keadaa, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri menyifatkan masih terlalu awal untuk bercakap soal calon Ketua Menteri dari BN, seolah-olah memperlihatkan pucuk pimpinan pusat tidak sealiran dengan Bung Mokhtar.
“Kenyataan Mohamed Khaled itu memberi indikator tidak jelas kepada rakyat Sabah bahawa siapa sebenarnya yang layak menentukan calon Ketua Menteri negeri itu kelak. BN Pusat atau BN Sabah?,” ujarnya.
Rakyat Sabah telah yakin kepimpinan Hajiji
Lantaran polemik terkini membabitkan kredibiliti Bung Moktar, penyelidik Borneo Geopolitics and Electoral Studies (GeoPES) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Ag Ahmad berkeyakinan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka akan terus kukuh dalam landskap politik Sabah dan mendapat sokongan yang tidak goyah walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Jelasnya, dari sudut pendekatan politik pula Hajiji telah berjaya memimpin Sabah menerusi pendekatan yang seimbang dan praktikal selain kerjasama erat bersama kerajaan Persekutuan.
Tambah beliau, banyak isu-isu penting diselesaikan melalui rundingan dan toleransi, menjadikan pentadbiran GRS dilihat lebih stabil dan berkesan.
“Ini menambah keyakinan rakyat terhadap GRS sebagai parti pemerintah yang mampu membawa pembangunan dan menjaga kepentingan negeri.
“Hajiji pula membawa kestabilan dan rekod pembangunan yang jelas. Ramai yang percaya bahawa beliau masih merupakan pilihan terbaik untuk menerajui Sabah dalam tempoh akan datang, terutama dalam usaha memastikan pembangunan negeri tidak terganggu oleh ketidaktentuan politik.
“Walaupun terdapat kritikan namun majoriti rakyat Sabah tetap melihat Hajiji sebagai seorang pemimpin ulung.
“Beliau dikenali sebagai pemimpin yang tidak terlalu menekan, tetapi tetap tegas dalam memastikan agenda pembangunan berjalan lancar,” ujarnya.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.