Kerajaan negeri Sabah mengambil langkah pantas untuk mengurus krisis bencana susulan kejadian tanah runtuh dan banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri itu akibat hujan lebat sejak Isnin.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis dan menyelaras usaha pemulihan bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Hajiji juga mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, memandangkan cuaca buruk dijangka berlarutan.
Selain pasukan penyelamat yang telah digerakkan ke kawasan-kawasan yang terjejas bagi menyelamatkan mangsa dan memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara (PPS), kerajaan negeri turut mengambil tindakan segera untuk memastikan semua mangsa yang terjejas mendapat bantuan yang diperlukan.
Kementerian Kerja Raya Sabah dan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri juga mengaktifkan operasi pemulihan dengan segera termasuk kerosakan jalan akibat tanah runtuh dan memastikan bekalan asas disalurkan secepat mungkin.
Dalam lawatannya ke beberapa kawasan terjejas, Hajiji turut memberikan kata-kata semangat kepada mangsa terlibat dengan menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa bersama mereka di waktu sukar ini.
Meskipun dalam keadaan hujan lebat, beliau mahu melihat sendiri keadaan mangsa bagi menzahirkan keprihatinan terhadap nasib mereka, sambil menyerahkan bantuan daripada kerajaan.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat. Setiap mangsa bencana akan dibantu sewajarnya supaya mereka tidak berasa terpinggir,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan PPS serta membantu memindahkan mangsa banjir dengan selamat.
Pada masa yang sama Hajiji mengingatkan semua wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya memantau dengan rapat situasi bencana di kawasan masing-masing.
Beliau menyifatkan bencana yang melanda beberapa daerah di Sabah kali ini agak teruk sehingga menjejaskan ramai penduduk.
“Bukan saja banjir, malah tanah berlaku runtuh dan bekalan elektrik dan air juga terputus, agak teruk kali ini.
“Sebab itu kita batal sambutan Hari Malaysia pada Selasa kerana kita lebih prihatin untuk bantu mangsa yang terlibat di beberapa daerah yang dilanda bencana ini,” katanya lagi.
Sementara itu, kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian bantuan tunai kepada waris mangsa yang terkorban dalam insiden tanah runtuh dan mangsa banjir yang terjejas.
Menurut JPBN, waris-waris mangsa yang terlibat kematian dalam kejadian tanah runtuh akan diberikan Bantuan Wang Ihsan (Kematian) sebanyak RM10,000.
Setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara Malaysia dan berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) yang berpindah bersama keluarga ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pula akan diberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

“Kerajaan negeri mendapat kerjasama daripada Kerajaan Pusat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk menyalurkan kewangan dan juga tambahan Jambatan Bailey serta bantuan lain yang perlu bagi menjamin bencana ini dapat ditangani serta diuruskan dengan baik.
“Pihak kerajaan juga akan memberikan bakul makanan kepada semua penduduk yang terjejas akibat bencana ini,” kata JPBN.
Tambah JPBN, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi berkaitan juga sedang giat menjalankan pemantauan, penyaluran bantuan dan koordinasi logistik bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua mangsa terus terjamin.
JPBN memberitahu, ketika ini terdapat lapan daerah yang telah terkesan dan daripada jumlah tersebut, enam daerah telah mengaktifkan PPS bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas.
“Sebanyak 11 PPS yang aktif beroperasi menempatkan sejumlah 220 keluarga, melibatkan seramai 863 orang mangsa,” ujar JPBN.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.