Satu ucapan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal di Melalap, Tenom baru-baru ini mencetuskan perdebatan hangat selepas beliau didakwa menyebut komuniti Murut sebagai “kafir”.
Pendedahan itu dilaporkan The Borneo Post pada 8 September lalu dan segera menarik perhatian masyarakat, khususnya pemimpin negeri dan wakil komuniti Murut yang menyifatkan kenyataan tersebut menyinggung perasaan serta menjejaskan keharmonian kaum.
Susulan itu, Ketua Bahagian UPKO Tenom, Junik Bajik serta beberapa persatuan Murut tampil menggesa Shafie membuat permohonan maaf secara terbuka, malah ada yang menyuarakan rasa kecewa terhadap insiden berkenaan.
Junik dilapor berkata, kenyataan sedemikian sama sekali tidak sepatutnya diucapkan kerana ia menyentuh soal sensitiviti kaum dan budaya.

Tegas beliau, kenyataan tersebut turut membawa implikasi kepada kumpulan pribumi bukan Islam yang lain.
“Walaupun Shafie kemudiannya mendakwa beliau hanya ‘tersilap cakap’ tetapi kenyataan itu amat menghina terutama kepada masyarakat Murut.
“Apa yang paling dikesali ialah ini bukan kali pertama Shafie mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperlekehkan komuniti etnik lain di Sabah,” katanya.
Tambah Junik, bekas Ketua Menteri itu sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila beliau didakwa menyebut ‘tiada satu ekor Cina dalam Kabinet’.
Menurutnya, kenyataan berulang yang bersifat menghina jelas menunjukkan sikap tidak sensitif terhadap masyarakat majmuk Sabah yang telah lama hidup dalam suasana aman dan harmoni.
“Tindakan Shafie wajar dikecam keras kerana berisiko mencetuskan ketegangan kaum dan menggugat perpaduan,” ujar beliau.
Tambahan pula, isu tersebut mengundang persoalan lebih besar tentang peranan pemimpin politik dalam menjaga sensitiviti budaya dan tanggungjawab moral dalam menguruskan kepelbagaian etnik.
Contohi cara kepimpinan GRS, Hajiji
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri Dr TC Goh berkata, semua pihak terutamanya pucuk pimpinan sepatutnya mencontohi pendekatan yang dibuat oleh Gabungan Rakya Sabah (GRS) dalam melayani segenap lapisan masyarakat dengan penuh adil dan rasa hormat,
Jelas beliau Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor adalah lebih mesra rakyat, memenuhi keperluan semua kaum dan agama tanpa menjejaskan kepentingan umat Islam serta hala tuju pembangunan negeri.

Menurut beliau, ia terbukti apabila Hajiji tidak pernah melupakan atau mengabaikan keperluan masyarakat bukan Islam.
“Inilah seorang Ketua Menteri yang tidak pernah berkata tidak, sebaliknya sentiasa mendengar dan memberi penyelesaian,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas peningkatan peruntukan tahunan kerajaan negeri kepada komuniti bukan Islam termasuk termasuk tokong, kuil, sekolah Cina dan badan keagamaan lain yang mencecah RM57 juta.
Ujar beliau, langkah tersebut menjadi bukti komitmen Hajiji dalam mengangkat prinsip keadilan dan kesejahteraan bersama, sekali gus memperkukuh semangat Sabah Maju Jaya (SMJ).
SMJ berjaya satukan rakyat Sabah
Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Seri Dr Clarence Bangkos Malakun juga senada menyifatkan pendekatan SMJ telah menyatukan rakyat Sabah merentasi kaum dan agama.

Katanya, GRS menunjukkan komitmen dalam memastikan peluang yang sama rata untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang etnik.
“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada usaha memelihara dan mempromosikan hak-hak masyarakat peribumi melalui pelbagai langkah perundangan dan program berasaskan komuniti, bagi memastikan suara masyarakat peribumi didengar dan dihormati.
“Kerajaan sentiasa menyokong intipati jati diri kita. Identiti rakyat Sabah berakar umbi dalam budaya dan tradisi kita,” ujarnya.
Lebih mengagumkan kata beliau, kerajaan negeri hari ini berjaya mengekalkan warisan budaya meskipun masyarakat terus menerima arus kemodenan dan inovasi.
Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Budaya Sabah, Dikin Musah memaklumkan terdapat lebih 73 suku kaum daripada 35 etnik di Sabah yang berlainan bahasa, budaya dan agama.

Kata beliau, pihaknya yang memainkan peranan dengan menyelaras aktiviti kebudayaan sebagai fokus utama mengakui ia tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan kerajaan.
“Reka bentuk aktiviti adalah berasaskan tradisi etnik tertentu. Kerajaan semasa memberikan sokongan penuh terhadap aktiviti ini.
“Sebagai contoh, sempena Pesta Menuai yang lalu, Ketua Menteri dan kerajaan telah mengumumkan beberapa program untuk menyokong aktiviti kami,” ujarnya.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.