Landskap politik Sabah kembali hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ) ke-17 akan datang apabila dua parti komponen iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) tidak lagi bersama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bagaimanapun, langkah itu tidak memberi kesan besar terhadap kekuatan GRS yang kekal utuh dengan sokongan pengundi dijangka tidak terjejas.
GRS yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, masih didokong oleh beberapa parti komponen utama iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Kewujudan gabungan pelbagai parti itu menggambarkan kekuatan GRS yang terus mendapat sokongan akar umbi, selain berjaya mengekalkan kestabilan politik di Sabah sejak mengambil alih pentadbiran negeri.
Secara keseluruhan, perpecahan kecil akibat ketiadaan STAR dan SAPP dalam GRS tidak menjejaskan kekuatan gabungan itu, sebaliknya, GRS yang membawa pembangunan, membuka peluang pekerjaan dan memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus kukuh dengan sokongan akar umbi.
Pandangan itu turut dikongsi penganalisis politik, Mujibu Abd Muis yang berpendapat ketiadaan STAR dan SAPP dalam GRS dijangka tidak terlalu menjejaskan kekuatan gabungan itu menjelang PRN tidak lama nanti.

“Secara umumnya, sokongan keseluruhan bergantung kemampuan gabungan itu menyerap undi penyokong tegar STAR dan SAPP, keberkesanan mesej pembangunan serta pencapaian yang dibuktikan, selain strategi pembahagian kerusi antara komponen termasuk dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Tambah beliau, politik Sabah sejak sekian lama memang dibina atas kekuatan gabungan besar atau ‘big tent coalition’ yang menghimpunkan parti-parti berasaskan daerah dan kaum.
Mujibu berkata, model berkenaan berfungsi baik dalam konteks Sabah kerana komposisi pengundi di negeri itu majmuk serta memerlukan perkongsian kuasa politik.
Menurutnya lagi, model itu mempunyai kelemahan dari aspek ketegangan dalaman dan perebutan kerusi.
Bagaimanapun, Mujibu memaklumkan, kelebihan model itu adalah ia boleh menghasilkan majoriti tipis di kawasan marginal, selain memberi imej kestabilan dan perkongsian sumber antara parti.
Beliau melihat bahawa STAR dibawah Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mempunyai pengaruh signifikan dalam kalangan pengundi Kadazan-Dusun-Murut (KDM) khususnya berkait isu hak negeri dan tanah adat, manakala SAPP membawa sentimen lokalisme dan kedaulatan negeri yang boleh mengena dalam kalangan pengundi Cina bandar.
“Cumanya, dengan kes video yang terpalit dengan Jeffrey, ia mungkin menjadi cabaran buat STAR untuk memancing undi orang muda dan atas pagar KDM,” katanya.
Tanpa dua parti itu, Mujibu mengakui GRS berpeluang menjenamakan diri sebagai gabungan lebih mantap dengan syarat ia mampu menetapkan naratif tunggal berasaskan rekod pembangunan, memastikan pembahagian kerusi lebih tersusun serta mengukuhkan mobilisasi akar umbi.
“Rebranding GRS hanya akan berjaya jika ia tampil sebagai ‘coalition of delivery’ iaitu gabungan yang bukan sekadar politik, tetapi benar-benar menepati janji pembangunan,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan GRS untuk segera menyusun semula naratif kempen, menetapkan pembahagian kerusi dengan rapi serta memobilasi akar umbi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, GRS kekal dilihat utuh dan masih berupaya mempertahankan sokongan rakyat pada PRN akan datang dengan strategi yang lebih tersusun serta imej sebagai gabungan stabil.
“Melihat situasi semasa dengan perkembangan sedia ada, terdapat beberapa senario berpotensi berlaku termasuklah jika GRS berjaya dijenamakan semula dan mencapai pakatan taktikal dengan parti lain, ia berada dalam kedudukan terbaik untuk menang PRN,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, Kerajaan Sabah tetap stabil dan semua agenda pembangunan berjalan tanpa gangguan meskipun dengan ketiadaan STAR dan SAPP.
“Bagi saya jelas, rakyat Sabah mahu kestabilan. GRS ditubuhkan atas semangat itu untuk satukan kekuatan parti-parti tempatan yang sehaluan dan pastikan kerajaan berfungsi dengan baik, berpaksikan kepentingan rakyat,” ujarnya.
Joniston menambah, akhirnya, rakyat mahu melihat kerajaan yang konsisten memperjuangkan kepentingan mereka.
“Itulah yang boleh mereka harapkan daripada GRS, sebuah gabungan yang kekal fokus membawa pembangunan asas, membuka peluang pekerjaan, dan memastikan rakyat Sabah sentiasa jadi keutamaan,” katanya lagi.
Menurut Joniston, GRS sudah membuktikannya melalui peningkatan hasil negeri, rizab yang kukuh, pelaburan besar dan peruntukan hampir RM1 bilion untuk pendidikan serta kemahiran rakyat.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people—especially those too often overlooked in national discourse. This article by Sinar Harian highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.