Kerajaan Negeri Sabah menegaskan pendirian menghormati proses perundangan melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang didakwa atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pentadbiran negeri komited menegakkan integriti dalam kalangan anggota kerajaan dan penjawat awam dengan memberi ruang kepada sistem keadilan untuk menjalankan peranan secara bebas serta telus.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyerahkan kepada mahkamah berhubung kes tersebut dan menekankan ia adalah ruang terbaik buat ADUN terlibat untuk membersihkan nama mereka.
“Apa-apapun proses undang-undang itu mesti berjalan dengan sebaik mungkin.
“Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Ada ruang untuk mereka membersihkan nama masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.
Hajiji menolak dakwaan bahawa pendakwaan melibatkan dua ADUN itu akan memberi kesan kepada kerajaan pimpinannya.
“Saya ingat tidak akan memberi kesan. Kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa kita menghormati bukan saja undang-undang tetapi mewujudkan integriti dalam kalangan anggota kerajaan dan penjawat awam,” ujarnya.
Dalam konteks pembangunan negeri, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus komited dalam melaksanakan agenda pembangunan termasuk memperkukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah.
Menurutnya, pentadbiran negeri kekal fokus dalam menjalankan tanggungjawab tanpa dipengaruhi oleh isu-isu yang boleh mengganggu kestabilan kerajaan.
“Apa yang lebih penting adalah memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
“Kerajaan negeri tetap komited untuk membangunkan Sabah dan memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” kata beliau.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.