Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan sejak 2021 dilihat bukan sahaja sebagai kesinambungan kepada pelbagai perancangan kerajaan terdahulu, bahkan kini tampil sebagai dokumen dinamik yang menjadi kerangka menyeluruh kepada hala tuju pembangunan negeri merentasi politik, kaum dan generasi.

Disifatkan sebagai gabungan pelbagai pelan pembangunan pasca penubuhan Malaysia, pelan ini digarap semula dengan memasukkan elemen-elemen relevan yang pernah dibangunkan di bawah kerajaan-kerajaan sebelum ini serta disesuaikan dengan Pelan Lima Tahun Kerajaan Persekutuan.
Ia termasuklah Rancangan Malaysia, pelan perindustrian, pelan pertanian, pelan pelancongan dan program nasional seperti Pelan Digital Negara (Jendela) dan Malaysia Madani.
Ketua Pegawai Penyelaras SMJ, Datuk Rosmadi Datu Sulai berkata, pendekatan ini menunjukkan bahawa SMJ merupakan pelan pembangunan yang inklusif, progresif serta berupaya menyesuaikan perancangan masa depan termasuk pelan-pelan baharu seperti pendigitalan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), sekali gus menepati aspirasi dua generasi Sabah akan datang.

Jelasnya, dengan menggunakan nama rasmi yang diangkat daripada jata negeri iaitu Sabah Maju Jaya, pelan ini digarap untuk tidak terikat dengan sebarang fahaman politik dan menjunjung semangat pembangunan yang merentasi batas etnik, agama serta latar ideologi politik.
“Harapan kami, generasi penerus terutama dua generasi akan datang dapat mengangkatnya sebagai satu program perdana kepada perjuangan negeri Sabah untuk maju setara dengan negeri-negeri yang maju di Malaysia,” katanya menerusi program Interviu pada Khamis.
Tiga falsafah SMJ
Menurutnya, SMJ berpaksikan tiga falsafah utama yang digagaskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor iaitu rasa kepunyaan bersama, keperluan bertindak segera dan kebanggaan terhadap pencapaian.

Ketiga-tiga prinsip ini jelasnya, menjadi teras perancangan, lebih-lebih lagi apabila pelan ini meletakkan misi utama Ketua Menteri iaitu tidak mahu melihat ada rakyat Sabah yang dihimpit kemiskinan sehingga kelaparan.
Justeru, dalam usaha membasmi kemiskinan tegar, kerajaan negeri membangunkan sendiri 13 indikator kemiskinan khusus untuk negeri Sabah termasuk aspek pemilikan rumah, akses kepada pekerjaan, status kesihatan dan pemilikan aset asas seperti kenderaan bermotor.

Pendekatan ini membolehkan intervensi dilakukan secara bersasar dan bukan sekadar bergantung kepada data makro daripada kerajaan Persekutuan.
“Data awal menunjukkan terdapat 22,500 ketua isi rumah miskin tegar, namun selepas proses pemutihan dan analisis data e-Kasih, jumlah itu susut kepada 8,467 ketua isi rumah (KIR) dan akhirnya hanya 1,147 KIR dikenal pasti sebagai belum mendapat faedah.
“Hanya selepas penilaian menyeluruh itulah bantuan disalurkan, disesuaikan dengan keperluan sebenar rakyat. Hasilnya, pada 31 Julai 2024, kerajaan negeri mengumumkan bahawa tiada lagi miskin tegar dalam senarai data yang dikunci berdasarkan 22,510 isi rumah,” katanya.

Namun beliau menjelaskan bahawa data miskin tegar itu adalah data dinamik dan intervensi berikutnya menjangkau 4,634 KIR yang dikenal pasti di lapangan.
Intervensi itu terus digerakkan dalam pusingan seterusnya dari Ogos hingga Disember 2024 dan menjelang akhir tahun itu, hanya 30 ketua isi rumah melibatkan 359 ahli dikenal pasti memerlukan bantuan segera.
Sabah peruntukkan RM1.2 untuk pendidikan
Katanya, kerajaan negeri juga menjangkakan setiap tahun akan muncul semula sekitar 3,000 keluarga miskin tegar baharu akibat persaraan, kehilangan pekerjaan, kesihatan dan faktor lain.
Justeru, intervensi secara berterusan dirangka dengan tiga keutamaan iaitu perumahan, pendidikan dan kebajikan.
“Di bawah SMJ, sebanyak 7,030 unit Rumah Mesra SMJ diluluskan sejak 2022 dan 4,000 unit telah disiapkan serta diserahkan kepada penerima menjelang 2024.
“Dalam aspek pendidikan, kerajaan negeri memperuntukkan RM848 juta setakat 2024, termasuk di bawah Tabung Pendidikan Negeri Sabah, Yayasan Sabah, Baitulmal dan lain-lain.
“Sasaran menjelang hujung 2025 ialah RM1.2 bilion dibelanjakan khusus untuk pendidikan, kerana pendidikan dilihat sebagai kunci paling ampuh keluar daripada belenggu kemiskinan,” ujar beliau.
Tambah Rosmadi, salah satu keunikan pelaksanaan SMJ ialah pendekatan pengumpulan data yang digerakkan oleh anak-anak muda daripada keluarga miskin tegar sendiri yang dilantik sebagai ‘profiler’ di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Jelasnya, mereka diberi latihan, peralatan termasuk telefon pintar serta diarahkan mengutip data secara real time dengan geo-location dan imej visual yang kemudiannya dihantar ke ibu pejabat untuk pengesahan dan pemadanan bantuan.
“Falsafahnya mudah iaitu anak tempatan kenal kawasan sendiri, maka penyasaran bantuan menjadi lebih tepat dan efektif. Setakat ini, 95 peratus kawasan berjaya diprofilkan dan selebihnya dijangka dicapai menjelang penghujung 2025, termasuk kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil.
“Namun kita harus akui mengakui cabaran logistik di kawasan pedalaman kekal sebagai halangan utama tetapi teknologi digital membolehkan data dikumpul dengan lebih bersepadu dan cepat,” katanya.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.



