Apa Hajiji buat untuk Sabah?

0
110

Menggalas tanggungjawab menerajui negeri di tengah-tengah pelbagai cabaran besar seperti ketidakstabilan politik hingga krisis kesihatan global bukan tugas yang mampu digalas semua pihak.

Namun Datuk Seri Hajiji Noor yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah pada tahun 2020 membuktikan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan, apatah lagi beliau sudah berpengalaman jauh dalam politik dan pentadbiran di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Buktinya, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berjaya memperkenalkan langkah-langkah progresif yang memberi impak positif kepada rakyat Sabah dan ia dibuktikan apabila hasil negeri juga meningkat secara signifikan mencecah RM6.9 bilion pada tahun 2023.

Meskipun Sabah juga sering dianggap belum maju berbanding beberapa negeri lain, namun tindakan beliau jelas memperlihatkan negeri utara Borneo itu sedang menuju ke arah kemajuan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Romzi Ationg berkata, Hajiji telah menunjukkan keberanian dalam membuat keputusan besar yang bertujuan untuk menstabilkan politik dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Dr Romzi

Ujarnya, ia merupakan antara strategi politik anak kelahiran Kampung Serusop, Tuaran itu dalam memastikan kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negeri Sabah di bawah kepimpinannya.

“Sifat tenang dan berhati-hati dalam mengambil tindakan turut dilihat menjadi antara faktor Datuk Seri Hajiji berjaya menguatkan kerjasama antara parti pemerintah dan pembangkang demi rakyat dengan mengutamakan Kerajaan Perpaduan.

“Hajiji turut mengambil langkah berani apabila tampil berkomunikasi dengan beberapa pemimpin yang sewajarnya dalam kerajaan contohnya ada enam ADUN dari Barisan Nasional (BN). Setelah itu beliau juga bekerjasama dengan pemimpin daripada parti lain, bebas dan sebagainya.

“Atas sebab itu juga, beliau turut diberikan jolokan sebagai pemimpin yang berani dan tegas. Keberanian beliau bekerjasama dengan pemimpin tertentu menjadi salah satu kunci kenapa kerajaan Sabah masih kekal sehingga sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, di bawah kepimpinannya, bapa kepada empat cahaya mata tersebut telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pembangunan berterusan antaranya pelan pembangunan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan aspek infrastruktur, pengurusan, sumber dan modal insan.

Hajiji telah menunjukkan keberanian dalam membuat keputusan besar yang bertujuan untuk menstabilkan politik dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr Bilcher Bala berkata, selain bijak menangani aspek politik di bawah kepimpinannya, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu juga mampu menarik pelaburan besar termasuk pelaburan berjumlah RM11.34 bilion pada tahun lalu.

Dr Bilcher

“Hal ini menunjukkan kebolehan kerajaan negeri mengurus ekonomi dengan baik dan menarik pelaburan yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Strategi diversifikasi ekonomi yang dilaksanakan Datuk Seri Hajiji telah membantu Sabah mencapai pertumbuhan yang kukuh. Contohnya hasil perdagangan negeri mencapai rekod tertinggi RM118.1 bilion pada tahun 2023, meningkat sebanyak 35.4 peratus berbanding tahun 2021,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran yang perlu dihadapi Hajiji dalam memastikan pembangunan berterusan di negeri yang dipimpin beliau, Bilcher berkata, cabaran utama ialah ketidakstabilan politik.

“Walaupun beliau telah berjaya meredakan ketegangan politik dalam beberapa tahun dikebelakangkan ini, ancaman ketidakstabilan politik masih wujud. Ini boleh mengganggu pelaksanaan projek pembangunan dan menjejaskan keyakinan pelabur.

“Cabaran lain ialah memastikan pengurusan sumber yang berkesan dan pembangunan infrastruktur yang mampan. Walaupun terdapat peningkatan dalam sektor tenaga dan infrastruktur seperti pelaksanaan projek solar hibrid dan pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik, masih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan semua kawasan di Sabah menerima bekalan stabil,” katanya.

Beliau menambah, secara keseluruhan, strategi politik dan ekonomi dilaksanakan Hajiji telah menunjukkan hasil positif, tetapi Ketua Menteri itu perlu terus menghadapi cabaran ini untuk memastikan pembangunan berterusan di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun menyifatkan sikap tenang dan sederhana yang dimiliki Hajiji menjadi faktor kejayaan beliau mampu menangani ketidakstabilan politik yang berlaku di negeri berkenaan.

Azizah

Menurutnya, meskipun dilihat tenang, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Ekonomi Masyarakat dari University of New Hampshire, Amerika Syarikat (AS) itu bijak dalam membuat sesuatu keputusan.

“Saya melihat sikap tenang beliau mengurus pelbagai isu berbangkit adalah disebabkan pengalaman luas beliau dalam politik dan mengenali banyak pihak sebelum ini.

“Perkara-perkara inilah yang membuatkan beliau boleh melihat ke hadapan kerana kita kena faham mengurus politik ini memerlukan pemimpin yang berpengalaman dan tenang dalam membuat keputusan,” katanya.

Jelas bekas Ahli Parlimen Beaufort tersebut, selaku individu yang dekat dengan Hajiji, beliau melihat sendiri proses dan usaha yang dilakukan pemimpin berkenaan sejak diangkat sebagai Ketua Menteri sejak 2020 itu.

“Beliau sudah lama dalam politik, sejak dari muda lagi dan telah melalului pelbagai cuaca dan landskap politik Sabah. Jadi, sebab itulah beliau dapat tangani krisis ini dengan baik, walaupun masih ada cabaran tertentu.

“Malah, kita juga harus akui tentang bagaimana beliau mampu menyatukan rakyat di Sabah yang penuh keunikan, berbilang kaum dan etnik ini untuk hidup secara harmoni,” katanya.

Ujarnya, mengambil kira pelbagai keunikan yang ada ini, Sabah sememangnya memerlukan pemimpin seperti Hajiji yang sifatnya tenang, berhemah dan penuh kesederhanaan.

Keberanian Hajiji bekerjasama dengan pemimpin tertentu menjadi salah satu kunci kenapa kerajaan Sabah masih kekal sehingga sekarang

Kini, selepas hampir lima tahun mentadbir, Hajiji menunjukkan Sabah bukan lagi negeri mundur seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya dengan kepimpinan berwawasan, beliau telah membawa Sabah ke arah kemajuan yang lebih jelas, meskipun berdepan dengan cabaran politik dan ekonomi.

Kepimpinan beliau yang pragmatis dan terfokus pada rakyat menunjukkan bahawa Sabah mampu berdiri teguh di atas kaki sendiri, dengan pendekatan inklusif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Meskipun Sabah juga sering dianggap sebelum maju berbanding beberapa negeri lain, namun tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor jelas memperlihat negeri utara Borneo itu sedang menuju ke arah kemajuan.

Menjadi harapan besar buat rakyat Sabah untuk melihat pemimpin terus berusaha memajukan negeri ke tahap lebih baik agar segala keperluan dan kehendak mereka dapat ditunaikan sepenuhnya.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

This article was originally published by Sinar Harian and republished in full on VOICE OF ASIA with due credit. The original version can be found here.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here