Menerajui negeri di tengah-tengah cabaran dan konflik, selain banyak ‘kelompongan’ ternyata tidak menggugat usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memperbaiki kelemahan yang ditinggalkan pentadbiran sebelum ini.

Kerajaan Sabah di bawah sentuhan ajaib pentadbiran beliau, akhirnya membawa banyak pertumbuhan dan kemajuan yang signifikan ke seluruh negeri dan atas kesungguhan itu, Negeri di Bawah Bayu berkenaan melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai Negeri Paling Cemerlang Malaysia bagi tahun 2024 menerusi The International Business Review (IBR) ASEAN Awards 2025.
Anugerah berprestij tersebut diberikan berdasarkan penilaian terperinci oleh Panel Penilai Profesional yang terdiri daripada tokoh-tokoh ternama pelbagai bidang, manakala Negeri Sembilan turut dinobatkan sebagai Negeri Paling Progresif Malaysia bagi tahun sama.
Berdasarkan pengumuman dibuat Sekretariat Anugerah The IBR ASEAN Awards 2025, kedua-dua negeri itu menerima pengiktirafan berkenaan atas usaha membangunkan negeri dan memperkasakan rakyatnya.
Untuk Sabah, penstrukturan pelaburan yang dipertingkatkan, dengan peningkatan ketara pelaburan asing daripada RM132 juta (2023) kepada lebih RM1 bilion (2024), kadar pertumbuhan sektor pembuatan tertinggi di negara ini pada 4.4 peratus pada 2023, berbanding -2.5 peratus pada 2022, Pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang memberikan Sabah lebih ekuiti dalam sumber minyak dan gas, menjana lebih RM3 bilion bayaran daripada Petronas pada 2023, peningkatan ketara geran khas, daripada RM26 juta pada 2022 kepada RM600 juta pada 2025, adalah beberapa contoh kejayaan yang diteliti di dalam white paper yang dikemukakan kepada panel.

Perpaduan utuh ditunjukkan rakyat Sabah meskipun hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama yang terdiri daripada lebih 70 suku kaum serta lebih 35 kumpulan etnik menjadi bukti jelas negeri itu wajar dicontohi.
Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Seri Dr Clarence Bongkos Malakun berkata, kejayaan itu didorong oleh komitmen tinggi diberikan kerajaan pimpinan Hajiji.
“Datuk Seri Hajiji juga telah menunjukkan komitmen beliau untuk memberikan peluang sama rata kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Kerajaan Sabah di bawah Datuk Seri Hajiji juga turut memastikan rakyat tanpa mengira latar belakang dijaga. Sebagai contoh, Pesta Kaamatan juga bukan semata-mata acara kebudayaan tetapi bukti kepada sambutan berterusan kita terhadap tradisi masyarakat asli dalam konteks moden,” katanya.

Menurutnya, pemberian bantuan berbentuk geran dan kewangan terhadap masyarakat etnik itu juga membuktikan kerajaan Sabah menghormati semua komuniti rakyatnya.
Ketua Panel Hakim The IBR ASEAN Awards 2025, Datuk Seri Azman Ujang berkata, perancangan strategik dilaksanakan kerajaan untuk meningkatkan minat pelabur asing memilih negeri itu, menjadi antara faktor yang mendorong panel memilih Sabah sebagai negeri paling cemerlang bagi tahun 2024.
Selain itu katanya, faktor lain yang turut mendorong kepada kejayaan itu adalah status Sabah sendiri sebagai negeri yang mencerminkan potensi luar biasa dari segi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Daripada segi bagaimana mereka menyediakan kertas kerja, dorongan dan semangat yang ditunjukkan dan cara setiap elemen kemakmuran dirancang dan distrukturkan juga jelas meletakkan mereka nombor satu.
“Negeri perindustrian yang paling pesat membangun ini juga sedang menarik minat secara global melalui kerjasama pelabuhan dengan pengendali pelabuhan antarabangsa, usaha mereka dalam Penukaran Tenaga Terma Lautan (Ocean Thermal Energy Conversion) yang tiada negeri lain di Malaysia melaksanakannya.

“Kejayaan mereka mengurus Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang memberikan peluang luar biasa kepada Sabah semua ini adalah sebahagian daripada sebab mengapa mereka mendapat tumpuan dan perhatian kami,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Beliau menambah, pelan SMJ yang diperkenalkan Hajiji juga turut menjalankan fungsinya dengan baik yang bukan sekadar peraturan dan idea di dalam buku semata-mata tetapi kesungguhan untuk melihat inisiatif ini berjalan baik turut dibuktikan dengan penubuhan sekretariat.
Menurutnya, kewujudan inisiatif tersebut juga menjadi antara kelebihan besar kepada Sabah hingga membolehkan negeri berkenaan dinobatkan anugerah berprestij itu.
“Matlamat utama adalah seperti yang dikatakan oleh Ketua Menteri iaitu ‘setiap rakyat Sabah mesti ada makanan di atas meja, dan rumah untuk didiami’. Segala usaha kembali kepada satu ayat ini dan setiap ketua jabatan dimaklumkan mengenai perkara ini. Hasilnya jelas kelihatan,” katanya.
Ditanya mengenai aspek yang mungkin boleh menjadikan Sabah sebagai contoh atau penanda aras kepada negeri-negeri lain di Malaysia atau ASEAN daripada perspektif panel, Azman berkata, penerimaan Sabah terhadap kepelbagaian budaya dan pengiktirafan semua kaum dan agama sebagai satu boleh menjadi contoh terbaik kepada seluruh negara.
Beliau menambah, ketiadaan permainan politik berunsur perkauman atau keagamaan dan kerajaan semasa berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan semua rakyat Sabah dilayan dengan adil tanpa sebarang diskriminasi juga wajar dicontohi.
“Kejayaan besar yang dinikmati Sabah dalam empat tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa segala-galanya mungkin dengan kepimpinan yang baik yang memberi fokus kepada kebahagiaan rakyat dan bukan semata-mata menjana pendapatan untuk negeri,” katanya.
Sabah di bawah Hajiji terus bergerak ke depan
The IBR ASEAN Award 2025 memberi penghargaan kepada tokoh korporat and agensi kerajaan bagi mengiktiraf kepimpinan cemerlang serta pencapaian luar biasa di peringkat ASEAN.
Kini, selepas kira-kira lima tahun mentadbir Sabah, Hajiji membuktikan tekadnya untuk meningkatkan pelbagai pembangunan termasuk infrastruktur seperti bekalan air, jalan dan projek rakyat yang tidak diselesaikan pemimpin terdahulu akhirnya membuahkan hasil diharapkan.
Cerita kejayaan Sabah hari ini walaupun mewarisi cabaran legasi dari kerajaan dulu adalah kejayaan seluruh Malaysia dan satu tanda kebanggaan untuk seluruh rakyat Negeri di Bawah Bayu itu.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.