Bermula sekadar ingin menyiapkan sebuah kedai runcit untuk ibunya, tetapi siapa sangka projek kecil menghasilkan bata akhirnya berkembang menjadi sebuah perusahaan yang berjaya sekali gus menjana pendapatan lumayan buat seorang anak muda di Kampung Padas Damit, di sini.

Amirrul Rozaizi Rosmin, 35, kini sudah tujuh tahun bergiat aktif dalam penghasilan blok bata dan mesin cetakan bata hasil inovasinya menggunakan bahan kitar semula.
Menurutnya, semuanya bermula apabila dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja di Labuan selepas beberapa bulan bekerja kerana lebih cenderung untuk berdikari dan menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan.
“Saya pulang ke kampung dengan niat mahu menyiapkan kedai runcit ibu saya, tetapi bahan binaan terutamanya bata sukar didapati. Setiap kali buat pesanan, bata akan lewat sampai kerana bekalannya kurang.
“Ketika itu, tidak ramai yang membuat bata, jadi saya cuba hasilkan sendiri. Bila berjaya dan ada lebihan, ramai pula yang datang beli. Dari situlah saya nampak ada potensi untuk kembangkan perusahaan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kilangnya di Padas Damit, di sini.

Dalam pada itu, Amirrul Rozaizi turut mengambil inisiatif menghasilkan mesin cetak bata sendiri yang kemudiannya turut mendapat permintaan pelanggan.
Mengimbas semula usahanya itu, Amirrul Rozaizi berkata, dia memulakan projek tersebut dengan bermodalkan wang yang dikumpul sebanyak RM2,700.
“Dari segi dana pada awalnya, memang saya kumpul duit sendiri dimulai dengan membeli bahan mentah untuk menghasilkan bata dan juga mesin.
“Saya mulakan cetakan bata secara manual, kemudian saya belajar melalui lawatan ke kilang-kilang memproses bata di seluruh Sabah untuk menambah ilmu.
“Dalam masa sama, saya juga kembangkan perniagaan dengan mendapatkan dana daripada kerajaan melalui permohonan dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) bagi mendapatkan mesin industri bernilai RM150,000,” jelasnya.
Ujar Amirul Rozaizi lagi, dengan adanya mesin ini, pengeluaran batany meningkat daripada hanya 1,500 biji sebulan kepada 5,000 biji sebulan.
Lebih membanggakan, perniagaan yang diusahakan Amirrul Rozaizi itu turut membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda kampung yang berdepan kekurangan peluang pekerjaan.
“Ramai anak muda di sini sukar mendapatkan pekerjaan kerana jarak ke Kota Kinabalu mengambil masa sekitar dua jam dan di pekan Beaufort pun tidak banyak peluang kerana tiada kilang atau pusat industri.
“Kebanyakan mereka bergantung pada pekerjaan ibu bapa seperti petani, peladang dan nelayan.
“Jadi, walaupun kilang saya kecil, sekurang-kurangnya dapat bantu mereka jana pendapatan,” jelasnya.

Amirrul Rozaizi yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan berkata, beliau pernah berdepan kesukaran untuk menampung perbelanjaan sekolah suatu ketika dahulu.
“Lepas tamat diploma dalam bidang ukur tanah, saya pernah cuba mohon di sektor kerajaan tetapi tidak berjaya. Akhirnya, saya nekad untuk tumpu kepada perniagaan ini.
“Alhamdulillah, kini saya mampu menjana pendapatan sehingga lebih RM15,000 sebulan melalui pembuatan bata dan perusahaan lain seperti mesin cetak serta ternakan madu kelulut,” katanya lagi.
Malah, Amirrul Rozaizi berkata, dia kini bukan saja mampu membekalkan bata di sekitar Beaufort tetapi perusahannya itu juga berjaya menembusi pasaran luar daerah berhampiran termasuk Sipitang, Papar, Penampang dan Kota Kinabalu.
Menurutnya, harapan itu bakal direalisasikan sebaik sahaja tangan kirinya pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan akibat tersepit pada mesin memproses bata pada Oktober tahun lalu.
“Potensi industri bata sangat baik, cuma tahap pengeluaran masih belum mampu memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya tetap berhasrat untuk memperluaskan pasaran pada masa akan datang, walaupun terpaksa berehat sejak tujuh bulan lalu kerana kecederaan di tangan kiri.
“Kini tangan saya disokong dengan besi dan saya berharap ia akan sembuh sepenuhnya agar saya dapat kembali mengusahakan pembuatan bata seperti biasa,” katanya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) susulan kecederaan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam turut berbangga dengan kejayaan Amirrul Rozaizi yang kini telah berjaya membawa keluar keluarganya daripada kemiskinan.
“Saya lihat anak muda ini boleh pergi jauh ke hadapan ketika saya melawat perusahaanya. Ketika itu, saya lihat dia ada komitmen yang tinggi untuk memajukan perusahaannya itu.
“Jadi saya nasihatkannya supaya dia buat lawatan ke kilang-kilang memproses bata untuk mendapatkan lebih banyak ilmu.
“Alhamdulillah selepas itu dia segera pergi ke mana-mana tempat yang dirasanya boleh memberikannya ilmu mengenai pembuatan bata dan juga mesin mencetak bata tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Ruslan berkata, inilah yang diperjuangkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus supaya rakyat dapat memperbaiki taraf hidup mereka melalui peluang keusahawanan dan sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ada ramai yang sudah keluar dari miskin tegar dengan melakukan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pembuatan bakeri dan makanan seperti mi.
“Tetapi perusahaan pembuatan bata ini antara yang besar yang diusahakan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) saya, selain satu lagi perusahaan membuat bot fiber,” katanya.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.