Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) bakal menjadi detik penting yang akan menentukan masa depan pentadbiran dan pembangunan Sabah.
Ia bukan sekadar sebuah proses demokrasi, tetapi satu titik penentu hala tuju negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.
PRN17 diperkenalkan sebagai pilihan raya yang kritikal kerana rakyat Sabah kini mahukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berupaya melaksanakan dasar pembangunan secara konsisten.
Pengalaman lalu menunjukkan bahawa konflik politik hanya membawa kepada ketidaktentuan, pembaziran sumber dan kelembapan dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri. Dalam suasana ekonomi global yang mencabar, kestabilan politik adalah asas utama untuk menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan serta memperkukuh sistem pendidikan dan kemudahan asas rakyat.
Justeru, PRN17 bukan sahaja menjadi medan untuk memilih wakil rakyat, tetapi juga peluang bagi rakyat Sabah menentukan arah pembangunan negeri yang lebih mampan dan inklusif. Rakyat jelas mahukan satu kerajaan yang teguh dan tidak terjerumus dalam konflik politik berpanjangan.
Harapan mereka adalah sebuah pentadbiran yang menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat, bukannya perebutan kuasa. PRN17 juga bakal menjadi ukuran sejauh mana suara rakyat Sabah mampu membentuk masa depan negeri sama ada menuju kestabilan dan kemajuan atau terus dibelenggu ketidaktentuan akibat perpecahan politik.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum, kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir negeri sejak 2022 berlandaskan prinsip kestabilan politik, inklusiviti dan kebertanggungjawaban.
Beliau yang juga Ketua Pemuda GRS berkata, kerjasama itu tercetus selepas Pilihan Raya Umum (PRU) apabila tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Situasi tersebut membawa kepada campur tangan Yang di-Pertuan Agong yang memanggil ketua-ketua parti dan mencadangkan pembentukan Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat dan negara.
“Ketika itu, GRS yang merangkumi Bersatu, PBS, BN dan beberapa parti lain sepakat untuk menyokong ilham murni Yang di-Pertuan Agong agar kerajaan perpaduan dapat diwujudkan.
“Keputusan ini penting kerana dalam satu penggal sahaja negara telah melalui tiga kali pilihan raya dan keadaan itu amat merugikan Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jonnybone turut menekankan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan adalah sejajar dengan prinsip Malaysia sebagai sebuah negara yang berpegang kepada sistem Parlimen berpelembagaan dan Raja Berperlembagaan.
“Apabila kita menyokong kerajaan Persekutuan, kita harus ingat ia adalah sebahagian daripada Malaysia yang telah bersetuju untuk hidup bersama di bawah kerangka Perlembagaan.
“Inilah asas mengapa GRS memilih untuk bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan perpaduan, demi kestabilan politik, memperkukuh demokrasi dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan,” jelas beliau.

Kerjasama GRS dan PH akhirnya melahirkan satu pentadbiran yang lebih inklusif, bertanggungjawab serta berupaya membawa Sabah ke arah pembangunan yang lebih mampan di bawah semangat perpaduan nasional.
Jelasnya lagi, kerjasama erat antara kerajaan negeri Sabah melalui GRS dengan kerajaan Persekutuan yang diterajui PH memudahkan pelaksanaan dasar pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Hakikat geografi dan pentadbiran Sabah yang melibatkan banyak agensi persekutuan seperti pendidikan, kesihatan, polis, kastam dan imigresen, memerlukan kerjasama rapat antara kedua-dua pihak. Ramai penjawat awam di Sabah berkhidmat di bawah agensi Persekutuan, maka hubungan yang baik adalah kunci bagi memastikan kelancaran pentadbiran.
“Jika kerajaan negeri mengambil pendirian sebagai pembangkang kepada kerajaan Persekutuan, ia akan menjadi kekangan besar kerana kerjasama dengan agensi-agensi ini pasti terhalang.
Sebaliknya, apabila kerajaan negeri dan Persekutuan sehaluan, banyak masalah rakyat dapat diselesaikan bersama,” katanya.
Tegasnya, kerjasama berkenaan membolehkan kerajaan negeri dan Persekutuan berkolaborasi dengan lebih berkesan dalam menyalurkan pembangunan, sama ada dalam projek infrastruktur, kemudahan asas atau perkhidmatan awam, manfaatnya dapat dirasai lebih cepat dan menyeluruh oleh rakyat Sabah.
Ujarnya, selagi Sabah berada dalam Persekutuan Malaysia dan menghantar wakil ke Parlimen, kita tidak boleh mengelak daripada bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
“Justeru, kerjasama ini adalah jalan terbaik untuk memastikan rakyat Sabah menerima manfaat secara langsung daripada dasar-dasar pembangunan.
“Asas kerjasama ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal memastikan kepentingan rakyat Sabah terus diutamakan melalui hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.
GRS dominan tentukan hala tuju Sabah pasca PRN

Menurut Jonnybone, mesej utama kepada rakyat Sabah menjelang PRN akan datang ialah GRS akan kekal sebagai parti tempatan dominan yang menjadi tunjang pentadbiran negeri, meskipun menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.
Kata beliau, rakyat perlu memahami GRS adalah sebuah gabungan parti tempatan di bawah satu payung yang kukuh, merangkumi lapan parti utama termasuk Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku, SAPP, USNO, LDP dan PHRS.
“Kesatuan ini menjadikan GRS sebagai blok politik tempatan yang menentukan hala tuju negeri. Walaupun kita menyokong kerajaan Persekutuan, dominasi politik negeri tetap berada di tangan GRS.
“Ketua Menteri adalah daripada GRS dan ini memastikan hala tuju Sabah ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri melalui parti-parti tempatan,” jelasnya.
Jonnybone turut mengingatkan rakyat tentang peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ yang menyaksikan cubaan rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) bersama Parti Warisan setelah Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan terhadap Ketua Menteri ketika itu.
Katanya, langkah tersebut berpunca daripada isu perlembagaan susulan keputusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor keluar daripada Bersatu yang kemudiannya membawa kepada penubuhan GRS sebagai parti rasmi.
“Cubaan itu jelas menunjukkan sifat rakus merebut kuasa tanpa memikirkan kestabilan negeri. Tetapi akhirnya rakyat menyaksikan GRS terus bertahan sebagai parti tempatan yang sah dan dominan.
“Walaupun terdapat wakil PKR dan DAP dalam kerajaan negeri hasil mandat rakyat, prinsip GRS adalah jelas, kerjasama dengan Persekutuan hanyalah untuk memanfaatkan pembangunan, bukan menyerahkan kuasa politik Sabah.
“Dalam PRN akan datang, GRS telah menetapkan 55 kerusi untuk ditandingi parti gabungan ini, manakala selebihnya kepada rakan dari Persekutuan. Tiada rundingan dengan BN dan ini menunjukkan ketegasan kita.
Sabah mesti dipimpin oleh parti tempatan yang dipilih rakyat, bukan ditentukan pihak luar,” katanya.
Jonnybone menyeru kepada rakyat agar menilai secara matang peranan GRS sebagai parti tempatan yang memayungi suara rakyat Sabah.
Katanya, hanya melalui GRS, negeri berkenaan akan dapat memastikan kestabilan, mengelakkan perebutan kuasa dan menentukan hala tuju masa depan yang lebih terjamin.
Komitmen jangka panjang GRS-PH: Bukan sekadar demi pilihan raya

Jonnybone berkata, kerjasama antara GRS dan PH bukanlah satu pakatan bersifat sementara atau semata-mata demi pilihan raya.
Menurut beliau, selagi kerajaan Persekutuan yang memenangi pilihan raya mentadbir negara, kerajaan negeri di bawah GRS akan tetap memberikan sokongan kepada ketetapan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa sokongan itu tidak akan diberi secara membuta tuli, khususnya jika ada perkara yang merugikan negeri Sabah.
“Siapapun kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum nanti, perkara itu akan difikirkan kemudian.
“Tetapi dalam penggal pemerintahan di peringkat Persekutuan ini, GRS tidak ada pilihan selain bekerjasama dengan PH,” jelasnya.
Jonnybone turut menegaskan GRS akan terus memperjuangkan hak-hak negeri Sabah.
Ujarnya, antara tuntutan utama adalah pengagihan perbelanjaan yang lebih adil memandangkan Sabah masih jauh ketinggalan serta pematuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang perlu dipercepatkan.
“Kita mahu keyakinan rakyat Sabah terhadap ketulusan kerajaan Persekutuan diperkukuhkan.
Masalah dalaman, luaran dan isu-isu berkaitan negeri Sabah mesti diberi perhatian serius oleh kerajaan yang ada pada hari ini,” katanya.
Jonnybone juga optimis kerjasama dua parti tersebut mampu meraih kemenangan dalam PRN akan datang tanpa perlu bergantung kepada BN-UMNO.
Menurut beliau, hasil dapatan sepanjang tiga tahun turun padang di pelbagai kawasan, keyakinan rakyat Sabah terhadap UMNO semakin merosot. Katanya, sentimen itu menjadikan kehadiran UMNO dalam mana-mana gabungan politik di negeri tersebut berpotensi mengganggu strategi dan sokongan semasa.
“Di Sabah ini sentimennya, mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada parti UMNO.
Jadi, sekiranya PH masih melibatkan BN dalam gabungan bersama GRS, ia boleh menjejaskan sokongan yang kita ada hari ini,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan walaupun di peringkat Persekutuan, BN merupakan sebahagian daripada kerajaan Perpaduan, hakikatnya landskap politik Sabah memerlukan pertimbangan berbeza.
Katanya, PH perlu ikhlas dalam memberi ruang kepada parti tempatan, khususnya GRS, untuk mendominasi hala tuju pentadbiran negeri. “GRS sentiasa menyokong kerajaan Madani. Dalam masa yang sama, peluang mesti diberi kepada parti tempatan untuk menentukan hala tuju negeri sendiri.
Jika PH benar-benar mahu melihat Blok Borneo terus menjadi penyokong kepada kerajaan Persekutuan, pengorbanan ini perlu dibuat,” katanya lagi.
Jonnybone yakin, kolaborasi erat antara kerajaan negeri pimpinan GRS dengan kerajaan Persekutuan yang diterajui PH mampu mencipta kombinasi mantap dalam menghadapi PRN akan datang.
“Sekiranya kedua-dua pihak boleh bekerjasama dengan baik, saya melihat kita berpotensi besar untuk menang dalam PRN yang akan datang,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Zaidi Jatil berkata, kerjasama tersebut merupakan suatu gagasan yang dibina atas tiga prinsip utama seperti kestabilan politik, keterangkuman dan kebertanggungjawaban.

Menurutnya, Sabah memerlukan pentadbiran yang stabil bagi menarik pelaburan, membina keyakinan rakyat dan memperkukuh hubungan dengan kerajaan Persekutuan.
“Keterangkuman pula menjamin suara pelbagai kaum, agama dan wilayah di Sabah didengar, manakala prinsip kebertanggungjawaban memastikan setiap keputusan dibuat berasaskan kepentingan rakyat, bukan kepentingan parti semata-mata.
“Hasil daripada kerjasama GRS–PH, beberapa dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar kerana wujud hubungan rapat dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, projek pembangunan infrastruktur jalan raya yang menghubungkan bandar dengan pedalaman, bekalan elektrik dan air luar bandar serta inisiatif ekonomi seperti pembangunan industri pelancongan, pertanian moden dan tenaga baharu kini dapat dijalankan dengan sokongan kewangan dan teknikal yang lebih kukuh.
Ujarnya, rakyat Sabah turut merasai manfaat langsung apabila isu asas seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan akses kemudahan awam ditangani dengan lebih efektif.
Zaidi yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Marudu itu turut menekankan mesej utama gabungan tersebut akan terus menjayakan visi Sabah Maju Jaya yang selari dengan agenda Ekonomi Madani di peringkat nasional.
“Selepas PRN kelak, fokus utama adalah memperkukuh tadbir urus, mempercepat pembangunan ekonomi serta menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang berdaya saing dan sejahtera.
“Sejak 2022, gabungan ini telah membuktikan keberkesanan dalam mentadbir. Rekod kerjasama yang berjaya menghasilkan dasar pembangunan serta hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan adalah bukti komitmen jangka panjang.
“Pemimpin GRS dan PH harus terus menunjukkan kesatuan dalam membuat keputusan penting agar rakyat melihat kerjasama ini sebagai ikhtiar berterusan untuk kestabilan dan pembangunan, bukan sekadar strategi politik,” katanya.
Beliau turut menambah gabungan GRS–PH mempunyai potensi besar untuk mencapai kemenangan dalam PRN akan datang kerana rakyat semakin menghargai kestabilan politik dan hasil nyata yang telah dinikmati sejak 2022.
Dengan rekod pencapaian yang jelas, ditambah pula dengan sokongan penuh kerajaan Persekutuan, rakyat Sabah diyakini melihat gabungan berkenaan sebagai satu pilihan yang mampu menjamin kesinambungan dasar dan pembangunan negeri.
“Secara keseluruhan, naratif utamanya ialah kerjasama GRS–PH merupakan kunci kepada kestabilan politik negeri dan kestabilan itu sangat penting agar pembangunan ekonomi Sabah dapat terus bergerak seiring dengan agenda nasional.
“Kerjasama ini bukan untuk kepentingan parti, tetapi untuk membina masa depan Sabah yang lebih makmur, adil dan inklusif,” ujar Zaidi.
Sementara itu, Penganalisis politik Sabah, Profesor Madya Dr Romzi Ationg berpendapat kerjasama erat antara GRS dan PH diyakini menjadi faktor utama yang memastikan kerajaan negeri Sabah kekal stabil sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa.

Beliau berkata, gabungan politik itu bukan sekadar strategi jangka pendek sebaliknya dilihat sebagai suatu model pentadbiran harmoni yang mampu menangani pelbagai isu rumit yang sekian lama membelenggu negeri ini.
“Melalui persefahaman politik yang wujud, hubungan baik antara kedua-dua pihak membolehkan masalah diselesaikan secara lebih tuntas dan berkesan.
“Rakyat Sabah pastinya berharap agar kerjasama ini tidak hanya terhenti pada peringkat retorik politik, tetapi diterjemah dalam bentuk keutamaan kepada penguasaan pemimpin tempatan dalam proses membuat keputusan, khususnya apabila melibatkan kepentingan negeri.
“Kerjasama ini juga diharap dapat menjadi jambatan yang menghubungkan pemimpin negeri dengan kerajaan Persekutuan, sekali gus memastikan suara rakyat Sabah didengar dengan lebih jelas di peringkat nasional,” katanya.
Menurutnya, walaupun potensi kerjasama GRS dan PH sangat besar, keberkesanannya bergantung sepenuh kepada keikhlasan kedua-dua pihak dalam melaksanakan agenda bersama.
Ujar beliau, aspirasi yang dibawa oleh pemimpin gabungan itu juga dilihat mampu menarik minat pengundi, terutamanya mereka yang mahukan kestabilan politik serta pentadbiran yang mementingkan kepentingan rakyat.
“Kerjasama yang ikhlas, telus dan konsisten bakal menjadi penentu sama ada formula gabungan ini mampu bertahan sebagai model politik matang di Sabah atau sekadar episod sementara dalam landskap politik negeri yang dinamik,” katanya.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.