Tuesday, August 26, 2025

Minyak dan Gas: Sabah bakal mendahului Sarawak?

Sabah kini mula menarik minat pelabur antarabangsa dalam sektor minyak dan gas (O&G), sekali gus memberi isyarat bahawa negeri itu berpotensi mengatasi Sarawak dalam aspek eksplorasi dan pelaburan tenaga.

Menurut Perunding kanan di Global Asia Consulting, Samirul Ariff Othman, Sabah telah menarik perhatian dengan pengumuman penerokaan baharu seperti SB409 dan SB310 serta peningkatan dalam pelaburan laut dalam.

Beliau yang juga pensyarah sambilan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) berkata, inisiatif Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) di Sipitang turut meningkatkan peranan hiliran negeri di bawah bayu itu.

Samirul

“Sabah sedang menunjukkan momentum positif dalam sektor O&G, terutamanya sejak 2022 namun belum sepenuhnya mengatasi Sarawak dari segi jumlah pelaburan atau pengeluaran.

“Sabah masih menjadi pencabar kepada dominasi Sarawak namun dengan struktur pelaburan baharu dan kerjasama antarabangsa, negeri itu kini semakin memperkukuh kedudukannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujar Samirul Ariff, beberapa faktor utama dikenal pasti sebagai pendorong trend tersebut termasuk terma kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) yang lebih fleksibel.

Beliau berkata, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dilihat menawarkan insentif lebih kompetitif bagi blok laut dalam di Sabah berbanding wilayah lain menjadikannya lebih menarik kepada syarikat minyak global.

“Selain itu, potensi geologi baharu turut memainkan peranan penting. Blok seperti SB409 yang terletak di kawasan frontier dan belum diteroka secara agresif, menjanjikan penemuan simpanan baharu yang berpotensi meningkatkan hasil pengeluaran negeri tersebut.

“Sabah juga berdepan kurang persaingan politik antara kerajaan negeri dan Petronas. Berbeza dengan Sarawak yang mempunyai entiti minyak dan gas negeri sendiri (Petros) yang bersaing secara langsung.

“Sabah masih membenarkan Petronas kekal sebagai peneraju utama industri, sekali gus memudahkan pelabur antarabangsa menjalinkan kerjasama tanpa halangan birokrasi yang besar,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Samirul Ariff berkata, gabungan kestabilan dasar, prospek sumber yang belum diteroka, serta hubungan lebih lancar antara kerajaan negeri dan Petronas menjadikan Sabah tarikan yang semakin kuat kepada pelabur global dalam sektor O&G.

Jelasnya, isu dwi-kawal selia antara Petronas dan Petros di Sarawak sering mencetuskan ketidaktentuan kepada pelabur antarabangsa kerana mereka perlu berurusan dengan dua pihak berautoriti yang kadangkala mempunyai tafsiran undang-undang berbeza.

“Sebaliknya Sabah walaupun berhasrat memperoleh kuasa autonomi lebih besar, masih mengekalkan Petronas sebagai pengawal selia tunggal.

“Keadaan ini mewujudkan landskap yang lebih konsisten, kurang birokrasi dan lebih mudah untuk pelabur luar beroperasi.

“Secara keseluruhan, pelabur antarabangsa cenderung memilih persekitaran yang jelas dan stabil. Buat masa ini, Sabah menawarkan kelebihan dari sudut ‘regulatory clarity’ berbanding Sarawak,” katanya lagi.

Tambah Samirul Ariff, blok eksplorasi SB409 dan SB310 di Sabah dilihat memiliki potensi besar untuk menjadi pemacu utama ekonomi negeri sekiranya diterokai sepenuhnya.

Menurutnya, SB409 yang diterajui Petronas bersama ConocoPhillips, terletak di luar pantai barat Sabah dan dikenal pasti mempunyai potensi minyak mentah serta gas laut dalam dengan anggaran rizab boleh pulih sekitar 800 juta hingga 1 bilion tong setara minyak (BOE).

“Sementara itu, SB310 yang diterokai Petronas bersama Eni, menunjukkan prospek gas yang berupaya menyokong pembangunan inisiatif LNG berskala kecil (mini LNG) atau diintegrasikan dengan SOGIP.

“Sekiranya kedua-dua blok ini dimajukan secara optimum, ia berpotensi menjadi enjin pertumbuhan ekonomi baharu Sabah, sepertimana peranan Bintulu yang menjadi nadi industri (O&G) Sarawak,” ujarnya.

Samirul Ariff berkata, kerjasama strategik antara Petronas dan syarikat antarabangsa seperti ConocoPhillips (Amerika Syarikat) dan Eni (Itali) dilihat menjadi pemangkin utama menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan tenaga yang semakin menarik.

Ujar beliau, kolaborasi tersebut bukan sahaja membawa pemindahan teknologi laut dalam terutama kepakaran dalam mengurus medan berisiko tinggi, tetapi juga menarik pelaburan asing langsung (FDI) yang memperkukuh kapasiti tempatan, termasuk pembangunan kemudahan sokongan di SOGIP.

“Selain itu, kehadiran pemain tenaga global dari Barat turut memberi isyarat keyakinan geopolitik kepada pelabur antarabangsa, sekali gus meningkatkan kredibiliti Sabah sebagai hab pelaburan sektor tenaga.

“Secara keseluruhan, kolaborasi ini bukan sekadar memperkukuh sektor minyak dan gas Sabah, tetapi juga membantu membina ekosistem industri tenaga yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

Kata Samirul Ariff lagi, Sabah mempunyai beberapa kelebihan dalam eksplorasi laut dalam berbanding Sarawak khususnya dari sudut potensi geologi dan akses kepada teknologi antarabangsa.

Menurutnya, potensi geologi Sabah masih belum diteroka secara agresif menjadikannya berpeluang mencatat kadar penemuan yang lebih tinggi sekiranya teknologi eksplorasi digunakan dengan tepat.

“Lokasi blok laut dalam Sabah di Laut China Selatan dan perairan barat laut juga berpotensi mengandungi formasi ‘deep carbonate reservoirs’ yang besar, mampu menjadi sumber baharu minyak dan gas.

“Selain itu, fasiliti sokongan seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) serta pelabuhan Lahad Datu dan Sandakan semakin berkembang untuk menyokong aktiviti eksplorasi.

“Walau bagaimanapun, Sarawak masih unggul dari segi kematangan infrastruktur dan jaringan saluran paip. Buat masa ini, Sabah belum mendahului dari sudut kemudahan, tetapi berpotensi muncul sebagai peneraju dalam penemuan simpanan baharu serta penerapan teknologi eksplorasi terkini,” ujarnya.

Samirul Ariff berpendapat, Sabah berpotensi muncul sebagai pemain utama serantau dalam sektor tenaga Asia Tenggara sekiranya mampu memanfaatkan kelebihan dan peluang sedia ada.

Kata beliau, gas laut dalam dan pembangunan LNG modular (mini-LNG) boleh menjadi bidang khusus (niche) yang mengukuhkan kedudukan Sabah dalam pasaran serantau.

“Selain itu, negeri ini juga berpeluang mengorak langkah ke arah tenaga bersih berasaskan gas dan hidrogen biru melalui pelaburan baharu, termasuk projek ammonia hijau di Sipitang.

“Sabah turut berpotensi menjadi hab bunkering dan logistik tenaga serantau sekiranya infrastruktur pelabuhan diperkukuh bagi menyokong operasi besar-besaran.

“Namun, untuk mencapai aspirasi ini, Sabah perlu mengatasi kelemahan sedia ada seperti kekangan pada grid tenaga dan kekurangan tenaga kerja mahir tempatan.

“Dengan dasar jangka panjang yang jelas serta kerjasama antarabangsa yang kukuh, Sabah berupaya menjadi pusat eksplorasi O&G laut dalam dan tenaga gas bersih yang berdaya saing di rantau ini,” katanya.

Ujarnya lagi, bagi memastikan Sabah kekal menarik kepada pelabur dalam sektor O&G, beberapa langkah tambahan perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri.

Antaranya termasuk menubuhkan syarikat minyak negeri Sabah sebagai rakan kongsi strategik, bukan sebagai pengawal selia agar pelaburan baharu dapat diperkukuh tanpa menjejaskan peranan Petronas sebagai peneraju utama.

Selain itu, tambah beliau, pembangunan sektor hiliran dan petrokimia wajar dipercepat bagi membina rantaian nilai supaya Sabah tidak sekadar bergantung kepada eksport bahan mentah.

“Insentif pelaburan berasaskan kelestarian (ESG) juga boleh diperkenalkan untuk menarik pelabur yang menitikberatkan aspek lestari dan mesra alam.

“Langkah lain termasuk membangunkan modal insan tempatan melalui institusi latihan teknikal O&G (TVET) serta memperkukuh kerjasama antara universiti dan industri.

“Pada masa sama, birokrasi pelaburan negeri perlu diperkemas melalui digitalisasi dan pelaksanaan sistem ‘single-window clearance’ bagi mempercepat kelulusan projek.

“Dengan gabungan kestabilan dasar, kejelasan kawal selia serta insentif pelaburan yang mesra pasaran, Sabah berpotensi muncul sebagai destinasi pilihan utama pelabur O&G di rantau ini,” ujarnya.

Sabah kini berada di landasan kukuh untuk terus menarik pelaburan sektor O&G dengan kestabilan dasar dan potensi geologi yang menjadikannya tumpuan baharu Asia Tenggara.

Berdasarkan pendekatan yang tersusun dan sokongan teknikal yang mantap, Sabah bukan sahaja mengejar malah mula mendahului Sarawak dalam landskap tenaga negara.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

Our Shows

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Most Popular

Recent Comments

DarrickUnwix on ASIA AEROTECHNIC