Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri hari ini telah meletakkan asas yang kukuh dalam merealisasikan visi dan hala tuju pembangunan ekonomi yang mantap, menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, selama lima tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri telah membina sebuah Sabah baharu yang kuat dan bersatu padu serta mengalu-alukan dunia untuk memanfaatkan kekayaan dan khazanah semula jadi negeri ini demi kehidupan rakyat yang lebih baik.
“Kita ada pelbagai kekayaan daripada galian seperti emas, tembaga, silika, kelapa sawit, koko dan pelbagai sumber tenaga seperti petroleum mentah, gas, hidroelektrik, arang batu dan banyak lagi.
“Lautan kita pula memberikan hasil laut yang menjadi buruan ramai serta tenaga haba, sambil mengekalkan terumbu karang yang masih asli dan tidak tercemar,” katanya pada Majlis Anugerah ASEAN International Business Review (IBR) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan turut hadir pada majlis itu, Pengasas, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif The IBR Asia Group, Datuk Beatrice Nirmala.
Sebelum itu, Sabah merupakan penerima anugerah negeri paling cemerlang di Malaysia bagi tahun 2024 atas pelaksanaan pelan SMJ yang menyeluruh.
Hajiji berkata, Sabah telah memeterai Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas, yang membolehkan Sabah memainkan peranan lebih besar dan mempunyai hak bersuara dalam industri minyak dan gas di negeri ini sendiri.
“Kita kini mempunyai pegangan ekuiti 50 peratus dalam medan minyak dan gas Samarang, 25 peratus dalam Samur, dan pada 17 Julai 2025, kita telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh 25 peratus ekuiti dalam projek gas asli cecair terapung berhampiran pesisir pantai (ZLNG), juga dikenali sebagai PFLNG 3 bernilai USD3.1 bilion (sekitar RM14.57 bilion) di Sipitang.
“Dari segi pelaburan pula, usaha gigih kita telah membuahkan hasil apabila Sabah mencatat RM17.41 bilion daripada 73 syarikat melalui kelulusan keseluruhan pelaburan asing dan domestik dalam sektor perkilangan sejak September 2020.
“Daripada jumlah itu, 52 syarikat telah memulakan operasi di Sabah dengan jumlah pelaburan sebanyak RM7.8 bilion dan mewujudkan 3,636 peluang pekerjaan,” ujarnya.
Katanya lagi, antara tahun 2022 hingga 2024, Sabah telah menerima cadangan pelaburan baharu berjumlah RM42.3 bilion, yang dijangka mewujudkan 32,996 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, projek tiga fasa bernilai RM31 bilion oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd yang dilancarkan pada lewat Jun tahun ini akan memberi kesan berganda yang bukan sahaja tertumpu kepada teknologi hijau, malah merangsang inovasi serta memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti di Sabah.
Hajiji menyatakan bahawa disebabkan permintaan tinggi daripada pelabur, kerajaan negeri telah meluluskan tiga taman perindustrian baharu masing-masing di Kota Belud, Beaufort dan di utara Kudat bagi Taman Perindustrian Ekonomi Biru, semuanya terletak secara strategik untuk merancakkan peluang pelaburan.
“Kami yakin pembangunan ini membawa petanda positif dalam perjalanan Sabah meneroka ufuk baharu untuk merealisasikan potensi sebenar negeri ini.
“Sabah akan sentiasa mesra pelabur dan kami telah melaksanakan dasar-dasar yang mampu menarik lebih ramai pelabur ke sini.
“Kami komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif, menyokong pelaburan dan merangsang kerjasama,” katanya.
Tambah Hajiji lagi, kerajaan faham betapa pentingnya mewujudkan suasana yang stabil, telus dan menyokong agar pelaburan dapat berkembang.
“Jadi kami mengalu-alukan lebih banyak sambungan penerbangan terus supaya pelabur, pelancong dan pengembara perniagaan dapat mengakses Sabah dengan mudah.
“Laluan baharu sebuah syarikat penerbangan tambang murah dari Kota Kinabalu ke Taipei dan Fukuoka adalah satu contoh yang akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan pelaburan, dan kami berharap lebih banyak laluan seperti ini akan dibuka tidak lama lagi,” katanya.
Hajiji berkata, satu industri yang bakal menjadi pemangkin perubahan besar dan menawarkan peluang pelaburan yang luas untuk Sabah ialah Ekonomi Biru, yang telah diwujudkan di Kudat.
“Industri ini dianggarkan mampu menghasilkan 491,000 tan metrik hasil laut seperti ikan dan udang setiap tahun, dengan nilai mencecah RM3.25 bilion.
“Namun, Ekonomi Biru bukan hanya tentang perikanan laut dalam,” katanya.
Malah, katanya lagi, terdapat 14 komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai termasuk tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim dan bioteknologi marin, antara lain.

Berhubung tenaga laut, Hajiji berkata, salah satu yang paling menarik adalah Penukaran Tenaga Terma Laut (OTEC), yang menjana tenaga daripada lautan.
“Loji kuasa OTEC kita kini dalam perancangan untuk meliputi sepanjang 500 kilometer pesisir pantai dan dijangka mampu menjana 20,000 Megawatt (MW) tenaga hijau, skala yang belum pernah dicapai di peringkat global.
“Ini bukan sahaja mencetuskan perubahan besar untuk negara, malah untuk rantau ini,” katanya.
Hajiji berkata, dari segi bekalan tenaga, kerajaan negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040, yang dijangka menjana 700MW dalam tempoh satu hingga dua tahun bagi memenuhi keperluan pelabur dan rakyat.
“Sementara itu, sebanyak RM679.85 juta turut diperuntukkan pada tahun 2024 untuk menangani masalah kekurangan air secara segera dan pelan jangka panjang termasuklah menyiapkan projek hidroelektrik Ulu Padas yang mampu membekalkan enam bilion liter air setiap hari,” katanya.
Dalam masa sama, Hajiji memaklumkan Sabah telah banyak melabur dalam pembangunan modal insan, dengan hampir RM1 bilion telah dibelanjakan untuk sektor pendidikan serta pelbagai program pembangunan belia dari 2021 hingga 2024.
Selain Sabah yang menerima pengiktirafan itu, lapan organisasi termasuk sebuah lagi negeri turut diraikan apabila menerima anugerah yang diiktiraf atas sumbangan cemerlang mereka dalam pelbagai bidang menerusi pendekatan inovatif, mampan dan berimpak tinggi
Antaranya ialah Institut Jantung Negara (IJN) yang diberi anugerah kecemerlangan korporat dalam sektor penjagaan kesihatan atas kepimpinan menerajui inovasi berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Turut menerima pengiktirafan ialah Clean Kinetics Pte Ltd, sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Singapura, yang membawa pulang anugerah Kecemerlangan Korporat dalam Tenaga Bersih.
Syarikat itu mencuri perhatian melalui kejayaan beberapa projek tenaga solar berskala besar, termasuk loji solar di Qatar dan Dubai, yang menyokong peralihan serantau kepada sumber tenaga hijau.
Dalam sektor perlombongan pula, Millennium Minerals Ltd, yang beroperasi di Sierra Leone dan berpangkalan di Dubai, dipilih untuk anugerah Kecemerlangan Korporat dalam Industri Perlombongan.
Syarikat itu mempelopori pendekatan beretika melalui penggunaan teknologi blockchain untuk menjamin ketelusan dalam perdagangan berlian kuning Zimmi, sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam amalan perlombongan bertanggungjawab.
Sabah turut mencatat satu lagi kejayaan menerusi Sabah Ports Sdn Bhd yang diumumkan sebagai penerima anugerah Kecemerlangan Korporat dalam Logistik. Anak syarikat Suria Capital Holdings itu diiktiraf atas kecekapan pengurusan lapan pelabuhan utama di negeri ini, termasuk kerjasama strategik dengan syarikat DP World untuk mengurus Sapangar Bay Container Port (SBCP).
Dalam bidang teknologi kecerdasan buatan, syarikat berpangkalan di Singapura AIRTS Pte Ltd memenangi anugerah Teknologi Inovatif dalam Kecerdasan Buatan menerusi produk unggul mereka, GenAI Twin iaitu sistem yang mencipta versi maya pekerja sebenar untuk melaksanakan tugasan rutin secara automatik.
Penganugerahan turut diberikan kepada Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (AIS) atas kejayaan menganjurkan pelbagai acara mega bertaraf antarabangsa. AIS diberi pengiktirafan Kecemerlangan Korporat dalam Pengurusan Acara menerusi penganjuran pameran seperti LIMA 2023, CYDES serta Sidang Kemuncak AISSE 2025 yang dijalankan melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.
Education Malaysia Global Services (EMGS) pula menerima anugerah Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Pendidikan atas peranannya mempromosikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa.
Sementara itu, kerajaan Negeri Sembilan turut diberi penghormatan apabila dinobatkan sebagai Negeri Paling Progresif di Malaysia 2024.
Anugerah itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada kepimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun yang giat melaksanakan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 dan memperkukuh agenda pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.