Kerajaan Negeri Sabah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM285 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan menyeluruh terhadap jalan-jalan negeri yang dikenalpasti uzur dan berisiko tinggi, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, langkah itu selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, tumpuan diberikan kepada empat laluan utama yang dikenalpasti berada dalam keadaan sangat uzur iaitu Jalan Sepulut-Kalabakan, Jalan Nangoh-Paitan-Kanibongan, Jalan Kanibongan dan Jalan Langkon-Pitas.
Katanya, laluan tersebut merupakan Jalan Negeri yang penting namun tidak dapat ditangani hanya melalui penyelenggaraan rutin dan berkala yang dijalankan oleh konsesi jalan sedia ada.

“Kerajaan memilih kaedah ‘Cold In-Place Pavement Recycling’ (CIPR) bagi membaiki jalan-jalan tersebut kerana ia terbukti berkesan terutama di kawasan yang mengalami kerosakan berulang akibat beban berlebihan,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu temubual khas baru-baru ini.
Tambah Shahelmey, penggunaan CIPR juga menjimatkan kos dan menjamin jangka hayat permukaan jalan yang lebih lama sekali gus mengurangkan keperluan penyelenggaraan berulang.
Iktiraf JKR Sabah
Sementara itu, Shahelmey memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai Jabatan Teknik bagi projek pembangunan persekutuan bernilai RM50 juta dan ke bawah berkuat kuasa 4 Mac 2023.

Jelasnya, pengiktirafan itu selaras dengan Arahan Perbendaharaan 182 (A.P.182) dan merupakan pencapaian penting hasil rundingan yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
“Ini mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap keupayaan profesional dan teknikal JKR Sabah dalam mengurus projek pembangunan.
“Langkah ini juga memperkukuhkan autonomi pentadbiran Sabah dalam bidang pelaksanaan dan pengurusan projek,” katanya.
Menurut beliau, pelantikan itu memberi impak besar kepada keberkesanan pelaksanaan projek kerana ia membolehkan JKR Sabah bertindak lebih responsif terhadap keperluan rakyat setempat.
Katanya, ia turut selari dengan matlamat Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menjadikan Sabah sebuah negeri maju, mampan dan berdaya tahan.
Bagi tempoh 2023 hingga 2025, JKR Sabah menerima 421 projek pembangunan Persekutuan bernilai sehingga RM50 juta melibatkan kos keseluruhan RM5.76 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak 269 projek akan dilaksanakan oleh agensi pelaksana kerajaan negeri iaitu JKR Sabah.
Lebuhraya Pan Borneo

Dalam pada itu, kerajaan negeri terus memberi komitmen terhadap pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, Fasa 1B dan Pakej Kerja 09 melibatkan Serusop ke Pituru.
Shahelmey berkata, Hajiji telah mencadangkan agar juru nilai swasta berdaftar dari Sabah dilantik bagi mempercepatkan proses pengambilan balik tanah.
“Cadangan ini membolehkan proses pengambilan balik tanah dilaksanakan serentak bagi semua pakej kerja dalam Fasa 1B,” ujarnya.
Beliau menambah, penubuhan jawatankuasa penyelarasan peringkat negeri termasuk isu utiliti, tanah dan teknikal yang dikendalikan oleh JKR Sabah akan terus diperkukuh.
Penyelarasan ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi utiliti seperti Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), SCOMM, Celcom Timur Sabah, Maxis dan lain-lain.
Shahelmey berkata, kerajaan turut bersetuju supaya pelantikan kontraktor dan perunding dilaksanakan secara tender terbuka dengan pra-kelayakan bagi menjamin ketelusan dan kecekapan.
“Pendekatan ini memastikan hanya kontraktor yang benar-benar berkelayakan dari aspek teknikal dan kewangan dipilih melaksanakan projek,” katanya.
Kaedah itu juga dapat mengurangkan kos pengurusan kerajaan selain meningkatkan integriti dan ketelusan dalam proses perolehan.
Sehingga kini, empat pakej kerja di bawah Lebuhraya Pan Borneo Sabah telah siap dan dibuka kepada umum iaitu Pakej Kerja 04 di Papar, Pakej Kerja 15 di Tawau, Pakej Kerja 21 di Lahad Datu dan Pakej Kerja 27 di Sandakan dan Kinabatangan.
Selain itu, kerajaan negeri turut menyarankan agar model pembiayaan alternatif dicari bagi memastikan kelangsungan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan pembangunan tahunan.
Komitmen berterusan kerajaan Sabah juga dapat dilihat melalui pelaksanaan program pemulihan cerun di seluruh negeri bagi tempoh 2020 hingga 2025.

Shahelmey berkata, JKR Sabah melalui Cawangan Cerun menerima peruntukan sebanyak RM443 juta daripada Kerajaan Negeri Sabah.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM407 juta digunakan untuk 66 projek pembaikan cerun berskala besar serta tiga kajian dan kerja-kerja kecemasan.
Cerun merbahaya
Sementara itu, RM36 juta diperuntukkan bagi 179 projek cerun berskala kecil di lokasi-lokasi kritikal seluruh Sabah.
Jelas Shahelmey, pelaksanaan menyeluruh projek-projek cerun ini membuktikan Sabah sebagai negeri yang proaktif dalam pengurusan risiko cerun dan pemulihan pasca bencana.
“Inisiatif ini bukan sahaja melindungi keselamatan pengguna jalan raya tetapi juga meningkatkan ketahanan infrastruktur negeri secara keseluruhan,” katanya.
Tambah beliau lagi, pendekatan strategik dan bersepadu dalam perancangan serta pelaksanaan kerja-kerja cerun mencerminkan keupayaan teknikal dan komitmen berterusan JKR Sabah.
Shahelmey berkata, semua inisiatif ini selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasakan sistem infrastruktur yang mampan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.