Sabah sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara apabila merekodkan nilai dagangan mencecah RM107.8 bilion bagi 2024, menandakan pencapaian luar biasa tiga tahun berturut-turut melepasi paras RM100 bilion sejak 2022.

Berdasarkan data laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Sabah yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Negeri Di Bawah Bayu itu terus melakar pertumbuhan positif mendepani landskap ekonomi global yang tidak menentu.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, dari segi perbandingan tahun ke tahun, jumlah dagangan Sabah mencatat pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus.

Kata beliau, eksport pula mencatatkan RM61.3 bilion pada 2024, turun sebanyak 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya namun import meningkat 10.2 peratus daripada RM42.2 bilion kepada RM46.4 bilion.
“Pertumbuhan import yang lebih tinggi berbanding eksport menyebabkan imbangan perdagangan mencatatkan susut 27.9 peratus dengan nilai lebihan dagangan yang lebih rendah sebanyak RM14.9 bilion bagi 2024,” katanya dalam kenyataan mengulas laporan tersebut pada Jumaat.
Tambah Dr Mohd Uzir, Sabah terus berdiri teguh atas tiga eksport utama iaitu petroleum mentah sebanyak RM21.3 bilion, minyak kelapa sawit (RM17.3 bilion) dan gas asli cecair (RM4.6 bilion).
Jelasnya, keseluruhan nilai eksport ketiga-tiga komoditi itu berjumlah RM43.2 bilion meliputi 70.4 peratus daripada eksport keseluruhan negeri, sekali gus mencerminkan kekayaan sumber bumi Sabah dan keupayaannya memacu ekonomi berasaskan komoditi.
Dari sudut import pula kata beliau, Sabah tampil sebagai pasaran utama untuk produk petroleum bertapis sebanyak RM5.2 bilion, baja industri (RM1 bilion) dan oleokimia berasaskan kelapa sawit (RM266 juta).
Mengulas lanjut Dr Mohd Uzir menjelaskan, eksport negeri itu meliputi transaksi perdagangan antarabangsa dan antara wilayah iaitu Semenanjung Malaysia dan Sarawak berdasarkan transaksi fizikal di pintu masuk serta keluar Sabah.

“Dari perspektif antarabangsa, jumlah eksport Sabah meningkat 0.9 peratus atau RM338.8 juta berbanding RM38.9 bilion pada tahun sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, eksport Sabah ke Semenanjung Malaysia mencatatkan penyusutan sebanyak 7.2 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM20.5 bilion pada 2024.
“Penurunan ini disebabkan oleh pengurangan eksport bagi beberapa komoditi utama seperti petroleum mentah (-RM1.9 bilion, -10.6 peratus),
minyak kelapa sawit (-RM45.2 juta,-6.5 peratus) dan oleokimia berasaskan kelapa sawit (-RM17.2 uta,-44.8 peratus),” katanya.
Sementara itu, ujar beliau, peningkatan import Sabah pada 2024 disokong oleh import yang lebih tinggi dari Semenanjung Malaysia yang meningkat sebanyak 14.9 peratus atau RM3.9 bilion daripada RM26.0 bilion pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, di peringkat global terdapat peningkatan import dari Indonesia (+RM418.4 juta, +49.7 peratus), Thailand (+RM112.0 juta, 7.5 peratus) dan China (+RM101.0 juta, 2.4 peratus ).
“Mengikut kategori umum, peningkatan import Sabah disokong oleh kategori makanan dan minuman sebanyak 10.2 peratus dan bekalan perindustrian 9.0 peratus.
“Semenanjung Malaysia menyumbang sebanyak 46.8 peratus daripada jumlah dagangan negeri Sabah.
“Manakala di peringkat antarabangsa, rakan dagangan utama negeri Sabah ialah China, Thailand, Republik Korea, Jepun dan India dengan sumbangan sebanyak 26.8 peratus,”katanya lagi.
DOSM turut menerbitkan Statistik Perdagangan Luar Negeri tahunan bagi 15 negeri yang memberikan nilaian perdagangan antarabangsa dengan negara lain untuk tempoh 2019 hingga 2024.
Bagi negeri Sabah, jumlah perdagangan Sabah mengikut nilaian tersebut mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus kepada RM43.0 bilion pada 2024 berbanding RM41.5 bilion (2023).
Jumlah dagangan tersebut disumbangkan oleh eksport bernilai RM32.1 bilion iaitu meningkat 3.2 peratus berbanding RM31.1 bilion (2023) manakala import mencecah RM10.9 bilion dengan kenaikan 5 peratus.
Tumpu penambahbaikan, bawa perdagangan berdaya saing
Sementara itu, Kerajaan Sabah disaran memberi tumpuan kepada beberapa penambahbaikan dalam usaha membawa perdagangan yang lebih berdaya saing.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul berpandangan, antara yang boleh dilakukan ialah mempelbagaikan eksport, pembangunan infrastruktur strategik, peluasan pasaran antarabangsa, penggunaan teknologi hijau dan pembinaan modal insan yang mampu mendorong transformasi ekonomi jangka panjang.

“Sabah masih berdepan beberapa cabaran antaranya ketidakseimbangan import dan eksport, kekangan logistik termasuk isu infra pelabuhan serta pergantungan berlebihan kepada komoditi tradisional.
“Walaupun prestasi perdagangan negeri menunjukkan kestabilan dan kematangan ekonomi, namun memerlukan anjakan dasar dan pelaburan bersasar agar negeri ini kekal kompetitif di peringkat serantau dan global,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif sejajar dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi mengukuhkan sektor perdagangan dan memperluas pasaran eksport.
Ia termasuk menarik pelaburan langsung luar dan dalam negara bagi sektor-sektor strategik teknologi tinggi serta kerjasama bersama Petronas bagi industri minyak dan gas.
“Sabah turut memperluas taman perindustrian di Kimanis dan Kota Belud–Marudu dan mengembangkan potensi perikanan menerusi kompleks bersepadu di beberapa daerah.
“Produk tempatan juga dipromosikan melalui jenama ‘Authentic Sabah’ di pelbagai ekspo kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
INFO PERDAGANGAN SABAH
Nilai dagangan keseluruhan: RM107.8 bilion
-Pertumbuhan tahunan: +2.7%
-Eksport: RM61.3 bilion (-2.3%)
-Import: RM46.4 bilion (+10.2%)
-Lebihan dagangan: RM14.9 bilion (-27.9%)
Eksport Utama Sabah
-Petroleum mentah: RM21.3 bilion
-Minyak kelapa sawit: RM17.3 bilion
-Gas asli cecair (LNG): RM4.6 bilion
-Jumlah eksport 3 komoditi: RM43.2 bilion (70.4% daripada jumlah eksport)
Import Utama Sabah
-Petroleum bertapis: RM5.2 bilion
-Baja industri: RM1.0 bilion
-Oleokimia berasaskan sawit: RM266 juta
Aliran Eksport Mengikut Destinasi
-Eksport ke luar negara: RM39.2 bilion (+0.9%)
-Eksport ke Semenanjung Malaysia: RM20.5 bilion (-7.2%)
Sumber Import Meningkat
-Dari Semenanjung Malaysia: +14.9% (RM29.9 bilion)
-Indonesia: +49.7% (+RM418.4 juta)
-Thailand: +7.5% (+RM112.0 juta)
-China: +2.4% (+RM101.0 juta)
Komposisi Perdagangan Sabah
-Semenanjung Malaysia: 46.8% daripada jumlah dagangan Sabah
-Rakan dagang antarabangsa utama: 26.8% merangkumi China, Thailand, Korea Selatan, Jepun, India
Statistik Perdagangan Antarabangsa (Tanpa Komponen Domestik)
-Jumlah dagangan antarabangsa: RM43.0 bilion (+3.6%)
-Eksport: RM32.1 bilion (+3.2%)
-Import: RM10.9 bilion (+5.0%)
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.