Sabah perlukan kerajaan konsisten untuk terus maju ke hadapan

Kestabilan politik di Sabah merupakan prasyarat utama untuk memastikan komunikasi dan penyaluran dana antara kerajaan Persekutuan dan negeri berjalan lancar.

0
20

Sabah memerlukan kerajaan yang konsisten dan sealiran dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan negeri itu tidak lagi terganggu akibat konflik politik dalaman serta pertukaran kepimpinan yang kerap.

Penganalisis Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kestabilan politik merupakan prasyarat utama untuk memastikan komunikasi dan penyaluran dana antara kerajaan Persekutuan dan negeri berjalan lancar.

“Sejarah menunjukkan ketidakstabilan kerajaan negeri terdahulu memperlahankan pembangunan Sabah hingga negeri itu juga masih jauh ketinggalan berbanding negeri jiran, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.

“Ia mengakibatkan banyak projek tertangguh, kelulusan belanjawan lewat, pelabur berwaspada untuk melabur dan pelaksanaan program untuk rakyat juga terganggu. Jadi kesinambungan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ada pada hari ini seharusnya diteruskan dan diperkukuhkan lagi menerusi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Sinar Harian.

Mohammad Tawfik

Untuk rekod, Sabah menjadi antara negeri yang sering berdepan ketidaktentuan politik apabila kerajaan bertukar tangan beberapa kali akibat tindakan wakil rakyat melompat parti dan perpecahan dalam gabungan.

Sejak kejatuhan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 1994, negeri itu jarang menikmati kestabilan jangka panjang walaupun berada di bawah BN selama hampir dua dekad.

Sistem penggiliran Ketua Menteri yang diamalkan ketika era BN turut menyumbang kepada perubahan kepimpinan yang kerap, sebelum Datuk Seri Musa Aman ketika itu menamatkannya pada 2004 dan mengekalkan pemerintahan UMNO Sabah hingga 2018.

Namun kejatuhan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membawa kembali episod tidak menentu apabila kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) pula tumbang selepas dua tahun memerintah dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, GRS yang diterajui Datuk Seri Hajiji Noor muncul sebagai tonggak baharu pentadbiran negeri dengan gabungan parti tempatan serta Persekutuan.

Setelah sekian lama, Sabah ketika ini dilihat menikmati kestabilan politik yang lebih konsisten di bawah kepimpinan GRS.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berpendirian, gandingan yang terjalin dengan BN dan PH akan membantu Sabah untuk terus meningkatkan momentum pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik serta agresif berbanding keadaan sedia ada.

Ujarnya, selepas PRU15, hubungan kerajaan negeri Sabah di bawah GRS dengan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali baik dan ia memberi kesan positif terhadap pembangunan negeri.

“Apabila Anwar mengambil alih tampuk kepimpinan, komunikasi kerajaan Persekutuan dengan Sabah menjadi lebih baik yang mendorong berlaku pelbagai perubahan seperti pemberian peruntukan tahunan yang lebih banyak kepada Sabah iaitu sebanyak RM17 bilion sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri sendiri,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan, kestabilan politik ketika ini terutamanya selepas PRN Sabah ke-17 pada 29 November nanti penting lebih daripada sebelumnya bagi memastikan pelaburan jangka panjang di Sabah terus terjamin dan pada masa sama semua projek serta inisiatif kerajaan yang sedang dilakukan dapat diselesaikan.

Ia kerana, kata beliau, sekiranya pelabur merancang untuk masuk ke sesebuah negeri, mereka pastinya akan menilai dari pelbagai sudut termasuk dari segi kestabilan politik di sesebuah negeri itu sendiri.

“Antara projek yang perlu diselesaikan untuk manfaat rakyat pula seperti projek pembinaan infrastuktur mega Lebuhraya Pan Borneo. Saya juga lihat kalau kestabilan politik itu wujud, projek sebegini juga boleh diperluaskan lagi dengan penjajaran jaringan kawasan baharu.

“Akses dengan kawasan yang jauh dengan ibu negeri Kota Kinabalu juga perlu dipertingkatkan, mungkin dengan kerjasama pihak swasta seperti penambahan jumlah penerbangan bagi memastikan rakyat Sabah mudah bergerak dengan lebih cepat,” syornya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah perlu disiapkan demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

Mohammad Tawfik berpandangan, keadaan politik yang stabil juga akan memberi lebih keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan kerajaan negeri untuk memerintah yang akhirnya memberikan kesejahteraan kepada rakyat sendiri.

Mengambil contoh pentadbiran Kerajaan Madani yang berjaya melaksanakan Akta Antilompat Parti ketika ini, beliau memberitahu, usaha yang mencetuskan kestabilan politik berkenaan membuatkan rakyat semakin hari semakin yakin dengan kerajaan Persekutuan.

“Dengan keyakinan dan kepercayaan tersebut, kerajaan dapat memerintah mengikut perancangan yang dibuat dan hasilnya kita lihat dana negara dapat dipulangkan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif.

“Maka perkara sama boleh dilakukan di Sabah untuk pastikan keyakinan rakyat itu akan kembali meningkat,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Mohammad Tawfik menegaskan, Sabah tidak memerlukan ‘drama’ politik yang ‘hebat dan memecahbelahkan’ sebaliknya hanya menuntut kepimpinan yang memberi tumpuan kepada kerja-kerja praktikal yang boleh memberi manfaat secara terus kepada rakyat.

Menurutnya, Sabah juga perlu mencontohi Sarawak yang berjaya mengekalkan kestabilan politik sehingga mampu menentukan hala tuju pembangunan sendiri.

“Yang diperlukan ialah kepimpinan berwibawa, pengalaman luas dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh ekonomi, membawa pembangunan yang berterusan dan membawa lebih ramai pelabur masuk ke negeri tersebut.

“Apabila kerajaan kukuh, dasar tidak bertukar ganti, pelabur berani masuk dan rakyat menikmati hasil pembangunan secara menyeluruh. Itulah makna sebenar kerajaan konsisten yang Sabah perlukan untuk maju ke hadapan,” katanya.

Beliau berpendapat, kepimpinan pada masa sama mesti memberikan tumpuan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda, menyokong perniagaan kecil dan terus membangunkan kawasan luar bandar negeri terbabit.

Kata beliau lagi, lebih banyak peluang pekerjaan dapat dicipta seandainya kerajaan negeri memberi perhatian untuk merancakkan sektor pelancongan kerana keunikan Sabah yang memiliki banyak pulau-pulau yang indah, gunung-ganang seperti Gunung Kinabalu dan khazanah hutan yang luas.

“Dalam Kabinet kerajaan Pusat, Menteri Pelancongan juga dari Borneo, jadi kerjasama erat kerajaan negeri dengan Persekutuan boleh membantu untuk pastikan sektor pelancongan ini dapat dimajukan bukan sekadar untuk angkat nama Sabah di peringkat dunia tetapi mungkin dapat mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Ekonomi yang kukuh, pelaksanaan banyak projek pembangunan dan pelaburan yang banyak masuk juga akan membuka peluang pekerjaan yang lebih besar termasuk dalam sektor pembinaan selain dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” kata beliau.

Keindahan pulau di Sabah termasuk Pulau Mabul boleh membantu merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri itu sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.

Selain itu, Mohammad Tawfik berkata, tumpuan juga harus diberikan untuk menambah baik kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik kerana ada sesetengah kawasan umpamanya di kampung setinggan Bajau Laut mereka masih bergantung kepada penyaluran elektrik secara pukal.

“Ini perlu ditambah baik kerana kita mahu semua rakyat merasai hasil negeri ataupun peruntukan yang diberikan kerajaan Persekutuan secara menyeluruh, bukannya di kawasan-kawasan bandar sahaja yang teratur serta tersusun tetapi setiap genap penduduk di Sabah dapat menikmati apa yang sepatutnya mereka dapat sebagai rakyat dan pengundi Sabah,” tegasnya lagi.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people—especially those too often overlooked in national discourse. This article by Sinar Harian highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here