Sunday, September 28, 2025

Sabah saman firma audit

Sabah Development Bank Berhad (SDB), institusi kewangan pembangunan milik penuh Kerajaan Negeri Sabah telah memfailkan saman terhadap firma audit antarabangsa Ernst & Young PLT (EY) atas dakwaan kecuaian yang dikaitkan dengan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri terdahulu sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM1.98 bilion kepada institusi itu.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu menyebut EY gagal melaksanakan tanggungjawab audit dengan telus dan mengikut piawaian sewajarnya sepanjang tahun kewangan 2017 hingga 2022.

Menurut pernyataan tuntutan, EY didakwa bukan sahaja gagal mengesan kelemahan kritikal dalam kawalan dalaman dan pengurusan risiko kredit, malah turut mengesahkan penyata kewangan bank itu sebagai ‘benar dan patut’ meskipun wujud penipuan akaun, amalan perakaunan kreatif serta kelemahan tadbir urus yang ketara.

Beberapa pinjaman besar diluluskan kepada syarikat pemaju hartanah di Semenanjung Malaysia, sedangkan matlamat asal SDB adalah untuk membiayai projek-projek berimpak tinggi di Sabah, sekali gus bercanggah dengan asas penubuhan bank tersebut.

Tindakan EY yang mengeluarkan laporan audit tanpa syarat dikatakan turut membawa kepada kelulusan dividen dan pinjaman baharu lebih RM3.6 bilion, yang sebahagiannya kini diklasifikasikan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

Kelemahan audit dan risiko kredit itu hanya dikenalpasti selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran negeri dan melantik Lembaga Pengarah serta pengurusan baharu SDB pada pertengahan 2023.

Audit bagi tahun kewangan 2023 menunjukkan SDB mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM878 juta, manakala audit semasa mengunjurkan tambahan kerugian RM100 juta yang dikaitkan secara langsung dengan kelemahan audit era pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

Malah pada 10 Julai 2024, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Masidi Manjun mendedahkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) bahawa 75 peratus daripada portfolio pinjaman SDB yang berjumlah RM6.6 bilion telah menjadi tidak berbayar atau susut nilai setakat Mei 2023.

Beliau mengkritik pengurusan lama kerana menggunakan ‘perakaunan kreatif’ di mana pinjaman baharu dikeluarkan kepada peminjam yang tertunggak untuk membayar balik hutang lama, bagi menghalang mereka daripada direkodkan sebagai NPL sehingga menyebabkan paras hutang lapuk bank meningkat kepada lebih RM5 bilion.

Menurut Masidi, strategi tersebut mencipta tanggapan palsu seolah-olah pinjaman telah dibayar balik, sedangkan hakikatnya bank hanya menyusun semula kredit dan merekodkan faedah belum kutip sebagai ‘keuntungan atas kertas’.

Beliau turut mendedahkan bahawa antara 2017 dan 2022 sahaja, pengurusan lama telah ‘merekacipta’ keuntungan buku berjumlah RM580 juta.

Masidi turut menyatakan bahawa kegagalan pengurusan terdahulu untuk menilai semula cagaran setiap dua tahun seperti diwajibkan bagi institusi kewangan menyebabkan SDB digelar ‘bank terakhir’ untuk syarikat yang gagal memperoleh pinjaman di bank lain.

SDB juga terlalu bergantung kepada penerbitan bon, namun aliran pembayaran balik pinjaman tidak cukup untuk melunaskan bon matang dan memaksa SDB menanggung hutang baharu untuk membayar hutang lama.

Dalam pernyataan tuntutan saman tersebut, SDB mendakwa bahawa EY telah gagal membangkitkan isu-isu ini dalam audit tahunan, sekaligus menampakkan sikap toleransi audit terhadap amalan perakaunan yang tidak beretika sepanjang era pengurusan lama.

Audit terkini tahun 2023 mendapati kerugian sebelum cukai sebanyak RM878 juta, manakala tahun semasa dijangka rugi lagi RM100 juta iaitu kesan langsung dari kegagalan audit EY yang lalu.

SDB menyatakan bahawa penyimpangan nilai cagaran, salah nyata ECL dan kelemahan kawalan kredit tidak dikesan atau dilaporkan oleh EY dalam tempoh tersebut.

Berikutan itu, SDB menggantikan EY dengan firma audit baharu, Forvis Mazars PLT dan menyatakan kesediaan untuk mengemukakan semua bukti kepada Mahkamah Tinggi.

Sejak Lembaga Pengarah baharu dilantik pada Julai 2023, SDB telah melaksanakan pembaharuan menyeluruh termasuk audit dalaman ketat, pengelasan semula pinjaman mengikut piawaian Bank Negara serta tindakan undang-undang terhadap 43 peminjam NPL.

Agensi pemulihan profesional turut dilantik dengan sasaran memulihkan RM1 bilion NPL setiap tahun mulai 2024.

Pada Ogos 2024, SDB mengumumkan bahawa ia berjaya memulihkan RM1.9 bilion pinjaman legasi dan mengurangkan obligasi bon tertunggaknya dari RM5 bilion kepada RM3.3 bilion dalam masa setahun.

Dalam tempoh lima bulan pertama 2024 sahaja, SDB telah menolak permohonan pinjaman bernilai RM1.5 bilion selepas penilaian kredit ketat sebagai satu isyarat tegas terhadap pemulihan disiplin kewangan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengesahkan bahawa SDB kini diletakkan terus di bawah pentadbiran Perbendaharaan Negeri Sabah, bagi memperkukuh pemantauan dan memastikan SDB terus menjadi instrumen pembangunan utama dalam agenda Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menurut beliau. dengan hala tuju baharu, SDB akan kembali kepada mandat asalnya membiayai projek pembangunan yang berimpak ekonomi dan sosial kepada rakyat Sabah.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

Our Shows

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Most Popular