Saman sivil SDB: Penafian Shafie cetus persoalan

0
94

Isu pengurusan kewangan Sabah Development Bank (SDB) ketika era pentadbiran lalu terus mencuri tumpuan susulan saman sivil berkaitan kerugian RM1.98 bilion yang difailkan institusi tersebut terhadap firma audit antarabangsa, Ernst & Young (EY).

Saman itu mendedahkan kelulusan pinjaman melebihi RM3.6 bilion, di mana sebahagian besar kini menjadi liabiliti dalam bentuk pinjaman tidak berbayar (NPL) yang berlaku dalam tempoh 2017 hingga 2022.

Kelemahan audit dan risiko kredit dalam organisasi tersebut hanya dikenalpasti selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran negeri dan melantik Lembaga Pengarah serta pengurusan baharu SDB pada pertengahan 2023.

Bekas Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Lembaga Pengarah SDB, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan sebarang penglibatan dalam keputusan menghapus kira NPL dan menyifatkan dakwaan tersebut  sebagai fitnah politik.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada seseorang yang memegang kedudukan tertinggi dalam kerajaan negeri dan juga mengetuai lembaga pengarah institusi kewangan boleh dikecualikan daripada tanggungjawab tersebut.

Menurut pakar undang-undang, Dr Hizri Hasshan, tidak wajar bagi pengerusi lembaga dan ahli lembaga mana-mana institusi kewangan memberi alasan tidak mengetahui tahap risiko pinjaman yang diluluskan kerana mereka bertanggungjawab memastikan setiap keputusan dibuat dengan betul tanpa sebarang salah laku.

Kata beliau, individu terbabit sepatutnya mempunyai pengetahuan dan akses mengenai tahap risiko pengaturan semua pinjaman dalam organisasi berdasarkan dokumen, rekod, unjuran dan pelaporan profesional yang dikemukakan oleh pihak pengurusan.

Dr Hizri

Ujarnya, ia bagi membolehkan pengerusi lembaga menyemak semula minit mesyuarat dan dokumen berkaitan ketika keputusan kewangan itu dibuat.

“Dalam konteks perundangan Malaysia, sebarang tindakan atau keputusan yang mengakibatkan kerugian besar kepada institusi kewangan boleh dikategorikan sebagai satu kecuaian.

“Kecuaian perlu dibuktikan melalui dokumen-dokumen kerana ia melibatkan ‘governans’ dan tadbir urus institusi kewangan yang tertakluk kepada pelbagai aspek pematuhan regulatori,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Hizri, dari segi kerangka statutori, institusi kewangan seperti SDB dikawal selia menurut Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.

Jelas beliau, berdasarkan seksyen 5 akta tersebut, segala urusan perniagaan institusi kewangan diletakkan di bawah Lembaga Pengarah sebagai pengurusan tertinggi.

“Skop tanggungjawab fidusiari kesemua ahli Lembaga Pengarah termasuklah Pengerusi Lembaga adalah secara kolektif untuk bertindak secara suci hati (good faith).

 “Ia bertujuan melindungi kepentingan institusi dan menggunakan ketekunan wajar serta kemahiran secara berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan kewangan bagi pihak institusi,” katanya lagi.

Penjelasan tersebut sekali gus membangkitkan persoalan terhadap peranan dan tanggungjawab bekas Ketua Menteri Sabah itu ketika memegang kuasa tertinggi dalam kerajaan negeri dan dalam SDB sendiri.

Berdasarkan kedudukan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah adalah tidak wajar Shafie tidak mengetahui apa-apa tentang struktur pinjaman berskala besar yang kini menjadi liabiliti kepada kerajaan negeri.

Dengan saman sivil yang kini difailkan, pendedahan demi pendedahan dijangka akan terus menyingkap bagaimana kegagalan kawalan kredit dan kelemahan audit yang berlarutan telah menjejaskan kedudukan kewangan SDB.

Implikasinya secara langsung kini ditanggung oleh kerajaan GRS dan rakyat Sabah.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here