Tuesday, August 26, 2025

Skandal Mineral Sabah: Pemberi maklumat dibiayai taikun Singapura?

Individu yang mendakwa dirinya sebagai pemberi maklumat dalam skandal rasuah lesen perlombongan mineral di Sabah, Datuk Albert Tei Jiann Cheing kini berdepan dengan pendedahan baharu yang mengaitkannya dengan dana luar negara.

Portal The Malaysian Corporate melaporkan Albert, 37, didakwa menerima pembiayaan daripada seorang tokoh perniagaan berpengaruh dari Singapura yang merupakan Pengarah Urusan sebuah syarikat perlombongan di Johor dan Perak.

Portal The Malaysian Corporate melaporkan Albert menerima pembiayaan daripada seorang taikun Singapura berhubung skandal rasuah lesen perlombongan mineral di Sabah.

Dakwa portal itu, dana tersebut bukan sahaja digunakan untuk tujuan melobi kelulusan lesen di Sabah, malah bagi membiayai kempen naratif awam yang menggambarkan Albert sebagai pejuang integriti dalam isu berkaitan sumber asli, namun menjadi mangsa tekanan politik.

Laporan sama turut mengheret beberapa nama besar dalam kalangan pemimpin UMNO Sabah yang didakwa mempunyai kaitan langsung atau tidak langsung dengan syarikat berkaitan Albert.

Portal tersebut mendakwa Albert dipercayai mengendalikan rangkaian lebih 13 syarikat proksi yang didaftarkan atas nama individu tempatan dan digunakan untuk menghantar permohonan lesen kepada pihak berkuasa negeri. 

Beberapa permohonan itu bagaimanapun telah ditolak atas faktor ketidakpatuhan kepada prosedur dan ketelusan proses.

Laporan portal itu mendakwa Albert yang menggunakan kamera tersembunyi dalam bentuk pen untuk merakam perbualan dan transaksi membabitkan tokoh politik bagi tujuan ugutan, sekiranya permohonannya gagal diluluskan.

Ini berikutan beberapa rakaman video berkaitan dakwaan rasuah tersebut disebarkan kepada media dan platform sosial tanpa diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara rasmi.

Pada 30 Jun lalu, Albert didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas dua pertuduhan memberi suapan berjumlah RM350,000 kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu), bagi tujuan mendapatkan kelulusan lesen mineral. 

Kedua-dua ADUN terbabit turut didakwa atas kesalahan menerima suapan.

SPRM sebelum ini juga memaklumkan bahawa individu yang turut terbabit dalam aktiviti rasuah tidak layak menerima perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Ketika bercakap kepada media di luar kamar mahkamah, Albert mendakwa jika berlaku sebarang kejadian terhadap dirinya termasuk diculik atau dibunuh, Ketua Menteri Sabah dan beberapa individu lain perlu dipertanggungjawabkan.

Albert bercakap kepada media di luar kamar mahkamah selepas pertuduhan tersebut.

Susulan itu, Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah membuat laporan polis terhadap Albert atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah, hasutan dan menghina mahkamah.

Perbicaraan kes berkenaan dijadualkan bersambung pada 5 Ogos ini.

Setakat ini, tiada sebarang komen dibuat Albert berhubung tuduhan beliau dibiayai taikun Singapura.

Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan komen Albert dan beberapa pemimpin UMNO Sabah dan GRS berhubung dakwaan laporan The Malaysia Corporate itu. 

Dalam perkembangan terkini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan terhadap seorang taikun syarikat Singapura berhubung skandal rasuah perlombongan di Sabah.

“SPRM telah memulakan siasatan untuk mengesahkan maklumat tersebut,” katanya dan menyatakan SPRM akan memanggil saksi berkaitan untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

Our Shows

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Most Popular

Recent Comments

DarrickUnwix on ASIA AEROTECHNIC