Pengumuman Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melantik seorang wakil masyarakat Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri (TKM) sekiranya terus diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, memberi isyarat bahawa politik Sabah sedang memasuki fasa baharu.
Janji yang dianggap luar biasa dalam konteks politik tempatan ini boleh dibaca sebagai percaturan strategik GRS untuk mengukuhkan imej inklusif serta meraih kepercayaan pengundi bandar dan separa bandar, di mana sokongan masyarakat Cina masih menjadi faktor penentu.
Secara sejarah, struktur kuasa politik Sabah lebih banyak berpusat kepada dominasi etnik bumiputera Islam dan Kadazan-Dusun-Murut (KDM).
Walaupun masyarakat Cina mempunyai sumbangan besar dalam sektor ekonomi, peranan mereka dalam hierarki politik negeri seringkali terpinggir pada tahap menteri penuh atau portfolio ekonomi tertentu.
Dengan janji Hajiji ini, GRS cuba melakar naratif baharu; bahawa penyertaan kaum minoriti tidak lagi sekadar simbolik, sebaliknya boleh diterjemahkan ke dalam kedudukan teratas kerajaan negeri.
Langkah ini selari dengan pandangan beberapa penganalisis yang menyifatkan Sabah sebagai ‘makmal politik Malaysia’ kerana keberanian mencuba formula perkongsian kuasa yang lebih fleksibel.
Namun, di sebalik mesej inklusif, langkah ini juga membawa implikasi politik yang lebih besar. Ia boleh dibaca sebagai usaha Hajiji mengekalkan momentum sokongan selepas kejayaan GRS menstabilkan kerajaan negeri pasca-PRN lalu, di samping menyaingi tawaran politik blok lawan seperti Warisan dan Pakatan Harapan.
Jika janji ini berjaya direalisasikan, ia bukan sahaja memperkukuh kedudukan GRS sebagai gabungan yang mampu merentas garis etnik, malah boleh menjadi preseden untuk menstrukturkan semula perkongsian kuasa politik di Malaysia Timur.
Langkah bijak ini turut diakui juga penganalisis politik, Dr Mohamad Hafis Amat Simin, yang menganggap pendekatan tersebut dilihat sebagai strategi matang GRS dalam membaca realiti demografi Sabah yang mempunyai lebih 1.78 juta pengundi berdaftar setakat Ogos 2025.

“Komuniti Cina yang mewakili lebih 15 peratus pengundi bukan lagi minoriti kecil, sebaliknya segmen signifikan yang boleh menentukan hala tuju politik.
“Memberi mereka representasi dalam kabinet negeri, GRS menghantar mesej jelas bahawa ia bukan hanya parti untuk satu kelompok,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, langkah itu juga berpotensi menjadi game changer pada PRN kali ini kerana jumlah pengundi Cina yang mencecah lebih 270,000 orang boleh mempengaruhi keputusan di kerusi marginal, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.
“Dalam PRN 2020, GRS dan sekutunya memperoleh 43.22 peratus undi popular. Jika berlaku anjakan lima hingga 10 peratus sahaja undi Cina, ia boleh memberi kesan besar kepada peluang kemenangan mereka,” jelasnya.
Menurut Mohamad Hafis, kerusi bandar seperti Likas, Luyang, Kepayan dan Sri Tanjong yang majoriti pengundinya adalah Cina tradisinya menjadi kubu pembangkang.
Bagaimanapun katanya, sekiranya janji tersebut dianggap tulus dan ikhlas, ia mampu membuka ruang buat GRS menembusi kawasan tersebut.
“Namun, sekiranya ia dilihat sekadar retorik pilihan raya, pengundi bandar yang lebih kritikal mungkin tidak akan mudah terpengaruh.
“Dari sudut imej politik, keputusan melantik wakil Cina sebagai TKM juga mampu merobohkan stereotaip bahawa GRS hanya mewakili satu kaum atau kelompok tertentu.
“Sabah mempunyai 42 kumpulan etnik dan lebih 200 sub-etnik. Dalam landskap sebegini, representasi inklusif amat penting untuk membina keyakinan rakyat terhadap kestabilan kerajaan negeri,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Hafis menegaskan risiko tetap wujud sekiranya pelantikan itu hanya menjadi simbol tanpa kuasa sebenar atau menimbulkan konflik dalaman dalam gabungan.
“Apapun, keputusan ini menggambarkan keberanian Hajiji untuk membawa formula baharu dalam politik Sabah yang sering dilihat bersifat patronage.
“Sama ada ia benar-benar menjadi faktor kemenangan, hanya akan ditentukan selepas PRN nanti,” katanya.
Kukuh perpaduan berbilang kaum: Joniston

Sementara itu, Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berpandangan, keputusan berkenaan dilihat mampu memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri itu.
“Langkah tersebut membuktikan keprihatinan Ketua Menteri yang sentiasa menekankan kepentingan inklusiviti dalam pentadbiran negeri.
“Beliau mahu memastikan semua kaum dan agama di Sabah diberikan peranan serta perhatian sewajarnya. Justeru pelantikan wakil Cina ke jawatan TKM amat bertepatan,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu juga berpotensi memberi motivasi besar kepada masyarakat Cina untuk terus menyokong GRS selain memperkukuh sokongan pengundi lain.
“GRS ini merupakan sebuah gabungan yang melibatkan parti-parti berasaskan masyarakat Cina seperti Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Liberal Demokratik (LDP), selain kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut mempunyai parti seperti DAP. Jadi sudah tentu wajar seorang wakil kaum Cina dilantik,” jelasnya.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah berkata, pelantikan wakil kaum Cina sebagai TKM juga bukan sesuatu yang baharu kerana ia pernah menjadi sebahagian daripada tradisi pentadbiran Sabah.
“Lazimnya negeri ini mempunyai tiga TKM iaitu masing-masing mewakili kaum Kadazan Dusun Murut, masyarakat Cina dan Muslim Bumiputera. Pelantikan ini bertepatan dengan amalan tersebut serta memperkukuh keharmonian di Sabah,” katanya.
Beliau optimis langkah itu mampu menjadi faktor penentu landskap politik Sabah kerana ia mencerminkan kebijaksanaan Hajiji mendengar suara rakyat.
“Sudah tentu keputusan ini akan mengubah corak politik negeri. Saya percaya masyarakat Cina khususnya akan menyambut baik langkah ini,” katanya.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people—especially those too often overlooked in national discourse. This article by Sinar Harian highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
The original version can be found here.