Saturday, September 20, 2025

Rizab Sabah meningkat lebih 160 peratus di bawah GRS

Rizab kewangan negeri merupakan salah satu indikator utama kestabilan fiskal, kecekapan tadbir urus dan asas kepada pembangunan berterusan.

Ia merujuk kepada simpanan yang dikumpulkan oleh kerajaan negeri hasil daripada janaan pendapatan seperti royalti minyak dan gas, cukai, hasil hutan, premium tanah serta dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Rizab ini disimpan sebagai aset tunai atau pelaburan cair yang boleh digunakan apabila diperlukan, selain berfungsi sebagai penampan ketika hasil negeri merosot atau ekonomi berdepan krisis.

Pada masa sama, rizab yang kukuh turut mencerminkan negeri yang berdaya saing serta cekap mengurus kewangan, sekali gus mampu menarik keyakinan pelaburan.

Pada tahun 2019, rizab kewangan negeri Sabah tercatat hanya RM3.2 bilion, mencerminkan tekanan fiskal yang dihadapi kerajaan negeri di bawah pentadbiran Parti Warisan (Warisan).

Keadaan menjadi lebih parah pada 2020, apabila pertumbuhan ekonomi Sabah merosot kepada −9.2 peratus.

Ia menandakan kemerosotan ekonomi yang mendalam akibat kelemahan struktur ekonomi dan kebergantungan berlebihan kepada komoditi mentah seperti minyak, gas serta hasil hutan.

Bagaimanapun, tindakan pantas kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gagasan Rakyat Sabah (GRS) membuahkan hasil apabila rizab negeri melonjak kepada RM8.6 bilion pada 2024, mewakili peningkatan lebih 160 peratus berbanding 2019.

Dalam tempoh dua tahun berturut-turut, hasil negeri mencatat peningkatan sebanyak RM6.96 bilion pada 2022 dan RM6.973 bilion pada 2023, yang menjadi rekod tertinggi kutipan hasil dalam sejarah Sabah.

Pengarah Pusat Pembangunan Ekonomi dan Dasar, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Saizal Pinjaman berkata, kenaikan rizab kewangan berkenaan juga dijangka akan berlaku seiring dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pada tahun ini.

DR SAIZAL

Ujar beliau, perkembangan rizab memainkan peranan penting dalam menstabilkan ekonomi terutama bagi negeri yang banyak bergantung kepada komoditi seperti Sabah.

“Ia kerana Sabah terdedah dengan turun naik harga komoditi termasuk kelapa sawit dan petroleum.

“Melalui peningkatan rizab, kerajaan negeri mampu menampung perbelanjaan operasi dan pembangunan negeri walaupun berlaku penurunan harga komoditi tanpa perlu bergantung dengan dana yang diperolehi melalui kerajaan persekutuan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Saizal, pengekalan rizab kewangan negeri yang tinggi mempunyai manfaat kepada masyarakat kerana disamping peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan persekutuan, penduduk turut mendapat limpahan peruntukan melalui senarai negeri.

“Langkah terbaik untuk memastikan rizab terus berkembang adalah dengan membelanjakan rizab bagi aktiviti ekonomi berimpak tinggi agar pulangan pelaburan dapat diperolehi.

“Aktiviti ekonomi berimpak tinggi juga dapat menjana peluang pekerjaan yang lebih banyak sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran dan jurang pendapatan dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

Secara keseluruhannya, peningkatan rizab kewangan negeri daripada RM3.2 bilion pada 2019 kepada RM8.6 bilion pada 2024 jelas membuktikan kecekapan tadbir urus dan keberkesanan dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran GRS.

Rizab yang kukuh bukan sahaja menjadi asas kestabilan fiskal, malah memastikan Sabah mampu bergerak sebagai sebuah negeri yang stabil, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

Sehubungan itu, rakyat wajar menilai prestasi ekonomi negeri berlandaskan fakta dan pencapaian sebenar, bukan sekadar retorik politik.

Dengan rekod peningkatan hasil negeri dan rizab yang memberangsangkan, GRS dijangka kekal sebagai pilihan rasional untuk meneruskan agenda pembangunan mampan serta menjamin kesejahteraan rakyat Sabah pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Inanam, Datuk Dr Roland Chia Ming Shen berkata, bukti kenaikan rizab Sabah lebih 160 peratus itu juga membuktikan bahawa pentadbiran GRS lebih cekap dari segi tatakelola ekonomi dan tadbir urus fiskal negeri.

DR ROLAND

“Dalam ekonomi, ada satu prinsip mudah yang semua orang boleh faham iaitu simpanan rizab kewangan adalah asas kestabilan dan bukti kekuatan ekonomi.

“Rizab Sabah masa Warisan pada 2019 hanya tinggal RM3.2 bilion sahaja, sekarang masa GRS sudah RM8.6 bilion pada 2024. Kenaikan lebih 160 paratus atau lebih 2.5 kali ganda,” menurutnya dalam kenyataan pada 26 Ogos lalu.

Ujar beliau, GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sedang memperbaiki asas ekonomi Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Menurutnya, negeri tersebut berjaya mengubah struktur ekonominya secara berperingkat daripada 2021 hingga 2024 bagi mengurangkan kebergantungan kepada komoditi mentah.

“Yang sengaja digelapkan oleh Warisan adalah petunjuk yang lebih penting iaitu dari tahun 2021 hingga 2024, pertumbuhan ekonomi Sabah sentiasa positif, tidak pernah negatif.

“Dalam tempoh yang sama, pungutan hasil negeri dan tabungan rizab kewangan juga terus meningkat.

“Dari segi hasil negeri, rekod jelas. Warisan hanya kutip RM4.2 bilion pada 2019 manakala di bawah GRS, hasil negeri melonjak hampir RM7 bilion untuk dua tahun berturut-turut pada 2022 dan 2023, di mana ia merupakan rekod tertinggi dalam sejarah negeri Sabah,” kata beliau.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

Our Shows

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Most Popular