Thursday, October 2, 2025

Kepimpinan Hajiji ubah landskap ekonomi Sabah

DALAM tempoh kurang lima tahun, pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah membawa anjakan signifikan kepada landskap pembangunan Sabah.

Daripada struktur hasil dan dagangan, pembaikan infrastruktur, pemerkasaan pelabuhan, pembangunan insan, hingga ke reformasi tadbir urus serta penjagaan budaya, semuanya digerakkan secara tersusun dan berpandukan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Laporan Tahunan SMJ 2024 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara pencapaian paling membanggakan ialah kejayaan Sabah mencatat jumlah dagangan melebihi RM100 bilion untuk tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024, dengan nilai tertinggi sebanyak RM118.1 bilion pada tahun 2023.

Malah, dalam Belanjawan 2025, sejumlah RM5.85 bilion telah diperuntukkan khusus untuk membaiki jalan, bekalan air, prasarana asas dan kebajikan masyarakat luar bandar, sekali gus menjawab keraguan terhadap keberkesanan pelaksanaan projek-projek terdahulu yang sering tertangguh atau terbengkalai.

Menurut Hajiji, sejak 2020, Sabah telah melaksanakan beberapa pembetulan dasar secara menyeluruh, terutama dalam mempelbagaikan sumber hasil dan memperkukuh industri hiliran.

Penubuhan syarikat milik kerajaan negeri seperti SMJ Energy Sdn Bhd misalnya, menjadi titik tolak penting dalam memastikan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas tidak lagi sekadar bergantung kepada Petronas.

Hajiji (kanan) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

“Hasil pendekatan ini, jumlah dagangan negeri melonjak kepada RM118.1 bilion pada 2023, dengan eksport mencecah RM87.6 bilion dan import sebanyak RM30.5 bilion.

“Diversifikasi ekonomi yang memfokuskan sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan membolehkan negeri ini lebih tahan terhadap ketidaktentuan pasaran global,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas Hajiji, Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga telah menjadi rangka kerja utama bagi merancakkan pelaburan, memodenkan sektor utama dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Dalam erti kata lain, Sabah kini tidak lagi sekadar pembekal bahan mentah, sebaliknya melangkah ke fasa pemprosesan dan nilai tambah.

Projek infrastruktur terbengkalai dihidupkan semula

Sabah sebelum ini sering dikaitkan dengan isu infrastruktur asas yang lemah seperti jalan raya yang rosak, bekalan air yang sering terganggu dan liputan telekomunikasi yang lemah, khususnya di luar bandar.

Namun, pentadbiran baharu mengambil langkah drastik dengan menubuhkan Jawatankuasa Intervensi Penyelarasan Pemantauan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah.

Hajiji (duduk, kiri) menghadiri pelancaran Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah di Tuaran.

Jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu memberi fokus kepada projek bekalan air dan elektrik yang sebelum ini terbengkalai serta mempercepatkan kelulusan peruntukan dan pemantauan pelaksanaan.

“Melalui Belanjawan 2025, sebanyak RM3.247 bilion diperuntukkan khusus untuk membaik pulih sistem bekalan air dan jalan raya, manakala RM2.607 bilion lagi diperuntukkan untuk penyelesaian menyeluruh kepada masalah infrastruktur asas di bandar dan luar bandar,” ujar beliau.

Jelas Hajiji, Sabah yang berpotensi sebagai hab perdagangan serantau, sebelum ini kekurangan sistem logistik dan pelabuhan yang efisien.

Justeru, usaha memperkukuh sektor ini dimulakan melalui Projek Pembesaran Pelabuhan Sepanggar yang dijangka siap pada 2026, meningkatkan kapasiti pengendalian kontena dari 500,000 TEUs kepada 1.25 juta TEUs setahun.

Selain itu, pelaburan logistik turut diperluas ke Sandakan, Tawau, Kudat dan Sipitang dengan fokus kepada sektor minyak sawit serta minyak dan gas.

Kemajuan pelabuhan ini bukan sahaja mempercepat urusan eksport dan import, malah meningkatkan keyakinan pelabur asing serta mewujudkan limpahan ekonomi ke kawasan sekitarnya.

Dengan penaiktarafan sistem logistik, Sabah kini muncul antara negeri dengan kadar pemprosesan eksport minyak sawit tertinggi di Malaysia Timur, sekali gus satu perkembangan penting hasil dasar pembangunan berasaskan kekuatan sumber tempatan.

Penstrukturan bantuan rakyat, pembasmian kemiskinan

Dalam soal kebajikan rakyat, Sabah memperkenalkan pendekatan bersasar seperti Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang memberi bantuan tunai RM300 sebulan kepada lebih 100,000 penerima miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih.

Berbeza dengan pendekatan lama yang tidak menyeluruh, program SYUKUR dirangka dengan objektif jelas iaitu mengurangkan kadar kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan isi rumah terbabit.

Hajiji turut dikenali sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat.

“Buat pertama kali juga, peniaga kecil tepi jalan yang berlesen menerima bantuan ‘one-off’ RM5,000 di bawah peruntukan khas pembasmian kemiskinan sebanyak RM488.5 juta.

“Pendekatan ini bukan sahaja membantu rakyat marhaen, tetapi juga merangsang mikroekonomi di peringkat akar umbi,” katanya.

Pada masa sama, Sabah juga agresif memacu pembangunan modal insan, terutama melalui TVET yang berorientasikan industri masa depan.

Sebanyak RM1.33 bilion diperuntukkan sejak 2021 bagi pelbagai program termasuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah, biasiswa dan subsidi penerbangan pelajar.

Jelas beliau, inisiatif TVET diperkukuh dengan pelbagai program STEM seperti STEM Festival dan Mini STEM Theater, serta kerjasama strategik bersama Petronas, ECoS dan institusi tempatan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, teknologi EV, AI, IoT dan teknologi hijau.

Hajiji bersama sebahagian daripada penerima Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah.

Selain itu, penubuhan Majlis TVET Sabah juga membolehkan penyelarasan antara kerajaan, institusi latihan dan industri bagi memastikan graduan TVET memenuhi permintaan pasaran, khususnya dalam sektor ‘blue economy’ serta tenaga masa depan.

Reformasi tadbir urus,pelestarian budaya

Kerajaan Sabah turut memperkenalkan dasar Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) yang memastikan semua 132 agensi kerajaan negeri membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) serta pelaporan melalui sistem i-DO dan i-Dashboard.

Menurut Hajiji, Sabah kini menyelia 27 syarikat induk dan 22 badan berkanun, dengan sehingga 250 subsidiari dan syarikat bersekutu di sektor strategik seperti perladangan, tenaga dan pembangunan hartanah.

Hajiji (kiri) mempunyai misi besar iaitu tidak mahu melihat ada orang Sabah yang dihimpit kemiskinan sehingga kelaparan.

Jawatankuasa Pemantauan GLC (GLC Monitoring Committee) telah ditubuhkan, dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan dan Penasihat Kewangan kepada Ketua Menteri bagi mengenal pasti kelemahan tadbir urus, menilai model perniagaan dan cadangan intervensi bagi GLC tidak berprestasi.

“Ketiga, sistem pemantauan dan audit di mana kerajaan telah meningkatkan pemantauan melalui State Company Information System 5.0 (SCIS 5.0), sistem digital yang memantau prestasi kewangan dan KPI GLC secara masa nyata.

“Dengan audit menyeluruh serta sistem pemantauan digital, risiko pembaziran, ketirisan dan rasuah boleh dikesan lebih awal dan ditangani secara proaktif,” jelasnya.

Melihat daripada aspek penjagaan warisan dan identiti Sabah pula, Hajiji menyatakan bahawa negeri itu kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa.

Maka, menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk memastikan khazanah warisan ini terus dipelihara, diperkasa dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Sejajar dengan usaha ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM13.66 juta pada tahun 2025 untuk pemuliharaan warisan budaya dan seni di Sabah.

Hajiji (tengah) sewaktu menghadiri Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2025.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga, dua projek utama telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah dengan kos sebanyak RM2 juta, bertujuan mewujudkan pangkalan data digital lengkap mengenai warisan etnik Sabah.

“Projek Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama British North Borneo Chartered Company (BNBCC) melibatkan kos RM200,000, sebagai langkah awal pemulihan bangunan bersejarah yang akan dijadikan pusat galeri budaya.

“Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bagi tahun 2025, yang antara lain akan digunakan untuk membina Kompleks Kebudayaan Sabah di Kinarut.

“Usaha ini sejajar dengan strategi Kerajaan Negeri untuk membangunkan ekonomi kreatif berasaskan budaya, selain memperkukuh identiti rakyat Sabah sebagai sebahagian daripada pembangunan menyeluruh negeri,” jelas Hajiji.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people – especially those too often overlooked in national discourse. This article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

Our Shows

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Other Articles