Tuesday, October 7, 2025

34 tahun tadbir Sabah, GRS dakwa BN gagal selesai masalah rakyat

Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan didakwa cuba mengelirukan rakyat dengan mengeluarkan kenyataan yang Barisan Nasional (BN) berjaya memajukan Sabah sepanjang 34 tahun mentadbir walaupun hakikatnya, masih banyak keperluan rakyat negeri itu gagal diselesaikan.

Situasi tersebut menjadikan Sabah jauh ketinggalan berbanding kemajuan yang dinikmati rakyat di Semenanjung ketika era BN memerintah.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, apa yang ‘dibanggakan’ Ahmad sebenarnya meninggalkan masalah yang kini dipikul oleh kerajaan GRS.

Menurutnya, meskipun lebih tiga dekad BN mentadbir, banyak keperluan asas rakyat di negeri tersebut seperti jalan luar bandar, sekolah, bekalan air dan elektrik belum diselesaikan sehingga mewujudkan jurang ketara antara Sabah serta Semenanjung.

“Ahmad Maslan cuba mengelirukan rakyat. Selepas begitu lama berkuasa, BN masih gagal menyelesaikan masalah harian rakyat. Itu fakta yang rakyat Sabah sendiri alami.

JONISTON

“Masalah ini kini dalam usaha untuk diselesaikan oleh GRS dengan peruntukan yang besar disediakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin UMNO itu baru-baru ini apabila menyifatkan GRS sebagai ‘baru belajar mentadbir’ dan terlalu awal mendabik dada sebagai pentadbir negeri.

Mengulas lanjut, Joniston berkata, kerajaan GRS kini terus komited mengambil langkah menyelesaikan permasalahan rakyat di Sabah.

“Bezanya (dengan BN), kepimpinan kerajaan GRS yang diperlekehkan oleh Ahmad Maslan mentadbir Sabah dengan lebih berkesan, mengambil kira suara rakyat Sabah dan berpaksikan semangat perjuangan untuk negeri ini.

“Dalam tempoh hanya lima tahun, hasil negeri Sabah melonjak ke paras tertinggi RM6.9 bilion, rizab negeri sudah melepasi RM8.6 bilion dan dijangka menembusi RM10 bilion.

“Selain itu, lebih RM35 bilion pelaburan berjaya dibawa masuk dan hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk pendidikan dan kemahiran rakyat.

“Jadi untuk mengatakan GRS masih baru merangkak adalah tidak masuk akal,” tegasnya.

Justeru ujar beliau, kenyataan Ahmad yang memperlekeh GRS hanya menunjukkan pemimpin UMNO itu meremehkan gabungan parti tempatan yang kini mentadbir negeri sendiri.

“Kenyataan beliau jelas ‘tone deaf’ dengan suara rakyat Sabah kerana rakyat kini yakin masa depan negeri lebih terjamin di bawah kepimpinan tempatan, bukan sekadar retorik dari luar,” katanya.

Wujud jurang kerana struktur telah lama berakar

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, MILA University, Dr Mohamad Khair Afham Muhammad Senan berkata, kewujudan jurang ekonomi dan infrastruktur Sabah berbanding Semenanjung berpunca daripada faktor struktur yang telah lama berakar.

MOHAMAD KHAIR

Bentuk muka bumi yang luas dan berbukit menaikkan kos logistik, penempatan penduduk yang bertabur mengecilkan skala pasaran dan kebergantungan bersejarah kepada sektor primer menjadikan pertumbuhan mudah terjejas.

“Di atas semua itu, kegagalan nasional untuk memberi keutamaan yang seimbang kepada infrastruktur asas di Sabah dan Sarawak selama puluhan tahun mewujudkan defisit rangkaian jalan, grid elektrik, air bersih, pelabuhan serta capaian digital,” jelas beliau.

Bagaimanapun tambah beliau, dari sudut ekonomi pada masa sekarang, meskipun jurang kesejahteraan belum tertutup namun prestasi pentadbiran Sabah di bawah GRS memperlihatkan kemajuan di beberapa bidang.

“Aspek kemajuan yang paling ketara di bawah GRS adalah kedudukan fiskal negeri lebih kukuh.

“Di samping itu, kerajaan negeri turut membentangkan belanjawan tambahan 2025 berfokus air, jalan dan kebajikan yang menunjukkan tumpuan utama kepada infrastruktur asas yang sekian lama ketinggalan.

“Kemasukan Geran Khas MA63 yang digandakan kepada RM600 juta bermula 2025 turut meluaskan ruang fiskal untuk projek asas.

“Semua ini menggambarkan keupayaan memobilisasi hasil dan peruntukan bagi menampal jurang prasarana yang lama terabai di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga kemajuan ketara dalam sektor tenaga dengan projek interkoneksi Sabah-Sarawak 275 kilovolt yang sudah menyiapkan aset utama seperti pencawang masuk utama (PMU) Mengalong di Sipitang.

Selain itu menurutnya, pemacuan pelaburan bernilai tambah semakin jelas. Di SOGIP (Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang) pelaburan berimpak tinggi dianggarkan hampir RM30 bilion dengan operasi bertahap mulai 2026 hingga 2027.

“Dalam pembuatan hijau, loji kaca solar baharu bernilai RM7.2 bilion di Kimanis dijangka mewujudkan ribuan peluang kerja dan mengukuhkan rantaian bekalan tenaga boleh baharu.

“Ini menunjukkan anjakan daripada kebergantungan komoditi mentah kepada industri hiliran yang lebih produktif,” katanya.

Tambah Mohamad Khair, dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, pengundi wajar menilai tawaran ekonomi berdasarkan impak nyata kepada kehidupan harian.

“Keutamaan adalah kemampuan kerajaan menurunkan kos sara hidup melalui pengurangan kos logistik, peningkatan kualiti pekerjaan yang menawarkan gaji dan kemahiran lebih tinggi serta kebolehcapaian perkhidmatan asas,” tegas beliau.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people—especially those too often overlooked in national discourse. This article by Sinar Harian highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

The original version can be found here.

Our Shows

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Other Articles