
BARU-BARU ini tular di media sosial dan platform berita mengenai skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa pemimpin dalam Kerajaan Negeri Sabah.
Pendedahan itu mencetuskan kontroversi apabila 10 rakaman video berkaitan dakwaan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebar, memaparkan perbualan berhubung urusan rasuah berkaitan projek cari gali mineral di negeri berkenaan.
Penyebaran video tersebut menimbulkan pelbagai spekulasi, sekali gus mencemarkan kredibiliti pihak yang terlibat selain memberi impak defisit kepercayaan terhadap Kerajaan Sabah serta kelangsungan pelaburan dalam sektor pembangunan negeri.
Ia turut menimbulkan kebimbangan terhadap tahap ketelusan, tata kelola dan tadbir urus dalam pengurusan sumber negeri, terutama dalam industri berpotensi tinggi seperti cari gali mineral.
Susulan itu, beberapa pemimpin kerajaan negeri tampil menafikan sebarang pembabitan, sambil menyuarakan komitmen terhadap ketelusan dan integriti dalam pentadbiran negeri.
Dalam reaksi susulan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa rakaman video tersebut tidak boleh dijadikan asas kepada siasatan kerana telah disunting dan tidak memenuhi piawaian bukti yang sah.
Tambahan pula, integriti pemberi maklumat yang mendedahkan isu ini turut dipersoalkan apabila individu terbabit didakwa mempunyai kepentingan peribadi dalam pendedahan berkenaan.
Hal itu menimbulkan keraguan terhadap motif sebenar serta tahap kejujuran dalam usaha membongkar skandal tersebut.
Justeru, ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J Kurum memberi sokongan penuh terhadap usaha memerangi rasuah di negara ini, namun pada masa sama kecewa dengan pendekatan sesetengah pihak yang memilih untuk mendedahkan dakwaan salah guna kuasa melalui media sosial.

“Saya secara dasarnya bersetuju dengan usaha memerangi rasuah kerana seperti saya percaya, rasuah di Malaysia ini sudah terbukti berlaku melalui penangkapan dan ada pemimpin yang sudah dijatuhi hukuman. Ini bererti rasuah itu ada.
“Bagaimana pun, sesuatu maklumat atau dakwaan rasuah tidak boleh dianggap sah selagi ia belum disiasat oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis,” katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Jonnybone, dakwaan daripada pemberi maklumat pula belum boleh dianggap sebagai rasuah sehingga pendedahan itu melalui siasatan telus dan seterusnya dibawa ke muka pengadilan.
“Cuma saya terkilan apabila pemberi maklumat tidak menyerahkan dokumen kepada pihak berwajib, sebaliknya menyebar melalui media sosial. Ini bukan memerangi rasuah, tetapi konspirasi,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut menyentuh mengenai individu yang didakwa cuba menawarkan sesuatu kepada wakil rakyat bagi mendapatkan sokongan terhadap sesuatu permintaan kepada kerajaan negeri.
“Apabila dia tak dapat apa yang diminta, dia gunakan itu sebagai ugutan politik. Ini bukan memerangi rasuah tetapi mengalakkan rasuah dan satu cubaan memerangkap wakil rakyat,” katanya.
Tambahnya, perbuatan sedemikian turut dilihat sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti kerajaan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Jika benar mahu membantu negara membenteras rasuah, patut lapor terus kepada SPRM.
“Kalau mahu minta sesuatu daripada kerajaan negeri, ikutlah prosedur yang ditetapkan bukan sebar melalui media sosial,” katanya lagi.
Keraguan maklumat
Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Tengku Siti Aisha Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, penggunaan media sosial untuk mendedahkan dakwaan rasuah tanpa laporan rasmi kepada SPRM boleh menimbulkan keraguan terhadap motif pemberi maklumat.

TENGKU SITI AISHA
“Secara amnya, media sosial tidak seharusnya digunakan untuk menuduh mana-mana individu melakukan jenayah seperti rasuah. Adalah lebih baik untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM,” katanya.
Beliau berkata, penyebaran dakwaan di platform media sosial tanpa identiti jelas dan tanpa bukti kukuh boleh menimbulkan pelbagai implikasi, termasuk manipulasi maklumat dan gangguan terhadap siasatan rasmi.
“Kita sering lihat individu menyembunyikan identiti mereka di sebalik akaun tanpa nama dan maklumat yang disebarkan tidak dapat disahkan.
“Orang ramai boleh membuat sebarang dakwaan tanpa mengemukakan bukti yang tepat. Ini dapat dilihat dalam siasatan kes rasuah yang melibatkan ADUN-ADUN di Sabah.
“SPRM berjaya mengesahkan video tersebut dan mendapati ia telah diubah suai atau disunting dengan ketara menggunakan teknik-teknik seperti doctoring dan super impose,” katanya.
Tambahnya lagi, niat pemberi maklumat juga boleh dipersoalkan sekiranya mereka lebih cenderung memilih media sosial berbanding saluran rasmi.
“Niat mereka mungkin bukan untuk melaporkan jenayah, tetapi lebih kepada menjatuhkan pesaing atau mencetuskan kekacauan. Platform seperti ini juga sering menyebarkan berita palsu sebagai umpan klik dan populariti,” katanya lagi.
Risiko kepada wartawan, media
Mengulas risiko kepada wartawan dan syarikat media yang menyiarkan dakwaan sedemikian, Tengku Siti Aisha berkata terdapat kesan undang-undang, etika dan reputasi yang serius.
“Pertama, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang seperti saman fitnah, denda kewangan atau pertuduhan jenayah. Dari sudut etika pula, penyebaran berita tanpa pengesahan jelas melanggar prinsip kewartawanan,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa berita berdasarkan dakwaan tidak rasmi boleh menggugat proses siasatan dan mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.
“Maklumat yang belum disahkan boleh mengelirukan orang ramai, mengganggu saksi, dan menyebabkan bukti dimusnahkan. Ini bukan sahaja mengganggu keadilan, tetapi juga menjejaskan kredibiliti media itu sendiri,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar semua pihak, termasuk pemberi maklumat dan pengamal media bertindak secara bertanggungjawab dan mematuhi prosedur yang sah agar usaha membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti.
VOICE OF ASIA Editorial Note
At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people—especially those too often overlooked in national discourse. The following article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.
This article was originally published by Sinar Harian and has been republished in full on VOICE OF ASIA with due credit. The original version can be found here