Friday, June 13, 2025

Politik Sabah: Hanya bahan persepsi, namun realiti berbeza

Kerajaan GRS- PH Plus pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor masih berfungsi dengan baik dan dapat melaksanakan program pembangunan dan program untuk kesejahteraan rakyat.

Politik Sabah terus menjadi tumpuan, bukan sahaja menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), tetapi kerana persepsi yang sering dibina bahawa kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil dan berisiko untuk tumbang pada bila-bila masa.

Justeru, timbul persoalan sama ada persepsi tersebut mencerminkan realiti sebenar Negeri Di Bawah Bayu itu.

Pakar perhubungan awam kerajaan, komunikasi politik dan perang saraf dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata, perubahan dalam pentadbiran bukanlah bermaksud ketidakstabilan seperti yang sering digembar-gemburkan.

Sebaliknya, beliau melihat ia sebagai cerminan kepada kematangan demokrasi di negeri itu.

DR SYAHRUDDIN

Menurutnya, politik Sabah sering dilabel sebagai tidak matang kerana sering wujudnya pertukaran kerajaan, persaingan sengit antara parti serta peralihan sokongan.

Namun hakikatnya, semua itu berlaku mengikut lunas perlembagaan dan sistem demokrasi.

“Kita kena lihat dengan jujur. Politik Sabah bergerak atas tiga lapisan iaitu ahli dan parti politik, rakyat sebagai pengundi serta pemerhati sama ada dari dalam atau luar. Persepsi ketidakstabilan mungkin datang dari segelintir rakyat dan orang luar.

“Ia mungkin berdasarkan penilaian atas apa yang berlaku tidak ditangani dengan baik oleh parti pemerintah dan dilihat sebagai ketidakstabilan.

“Tapi daripada sudut pandang pemerhati pula, landskap politik Sabah tidak boleh disamakan dengan Semenanjung atau Sarawak kerana mempunyai keunikan tersendiri. Misalnya, UMNO di Sabah boleh jadi pembangkang, tapi di Persekutuan jadi kerajaan. Ini antara realiti yang menjadikan pentas politik di sini penuh strategi,” jelasnya.

Beliau menegaskan sebagai seorang pemerhati, perspektif akademiknya menggunakan kaca mata komunikasi politik dan kenegaraan serta menyifatkan apa yang berlaku di Sabah adalah berasaskan survival.

Jelasnya, lima faktor utama mendorong dinamik ini iaitu keinginan untuk kekal relevan, keperluan membentuk pakatan bagi mencapai kuasa, keputusan elit politik yang tidak dapat diramalkan, kesan imej sesebuah parti serta pengaruh kuat Kerajaan Persekutuan terhadap landskap negeri.

“Politik bukan soal 1+1 = 2. Kadang-kadang ia 2-1 tapi masih jadi 2. Ia bukan matematik linear. Ia seni bertahan dan menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.

Naratif lawan realiti

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS turut menjelaskan bahawa media sosial memainkan peranan besar dalam menyebarkan naratif yang belum tentu benar atau ‘persepsi politik’.

Malah, apa yang berlaku di Sabah sering kali dibesar-besarkan di media sosial, naratif yang dimainkan ada kalanya berbentuk serangan peribadi.

Landskap politik Sabah tidak boleh disamakan dengan Semenanjung atau Sarawak kerana mempunyai keunikan tersendiri.

Sebagai contoh katanya, tuduhan kepada Ketua Menteri atau bekas Ketua Menteri dibuat untuk menghakis kepercayaan rakyat.

Beliau menjelaskan, permainan persepsi ini dijalankan oleh ‘provokator’ atau ‘rider’ dalam kalangan parti politik, baik kerajaan mahupun pembangkang, yang cuba mencetuskan keraguan dalam kalangan rakyat.

“Tapi, kesannya hanya dalam ‘mangkuk politik’ itu sahaja iaitu dalam kalangan ahli politik dan pengikut tegar parti. Rakyat biasa? Mereka lebih pentingkan periuk nasi. Mereka mahu hidup aman dan melihat perubahan dalam hidup mereka, bukan sekadar retorik politik,” tambah beliau.

Pemerintahan terus berfungsi

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob pula menjelaskan bahawa dalam berpolitik, matlamat utama parti politik dan individu tertentu pimpinan utama parti politik adalah untuk mengekalkan kuasa manakala yang tidak berkuasa adalah untuk mendapatkan berkuasa atau tumpang kongsi kuasa.

Menurutnya, untuk berkuasa, ada pelbagai cara iaitu melalui pilihan raya atau rampasan kuasa, sama ada melalui kekerasan atau penarikan sokongan wakil rakyat kepada kerajaan memerintah.

DR YUSOF

Kedua-dua cara itu katanya, sudah berlaku di Sabah kecuali rampasan kuasa melalui kekerasan.

Bagaimanapun katanya, pernah berlaku dan masih sukar dijawab ialah Peristiwa Double Six di Sembulan, Sabah pada tahun 1976 yang mengorbankan Tun Fuad Stephens yang baharu memegang jawatan Ketua Menteri pada masa itu.

“Dalam konteks hari ini, saya boleh katakan bahawa Kerajaan Sabah iaitu Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus dibawah Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri dan Pengerusi GRS adalah kerajaan yang stabil.

“Tuduhan demi tuduhan daripada pemimpin pembangkang mengatakan kerajaan tidak stabil adalah propaganda mereka.

“Saya melihatnya lebih kepada kekecewaan mereka apabila Langkah Kinabalu yang dibuat pada 5 Januari 2023 telah gagal,” jelasnya.

Tambah Yusof, Kerajaan GRS- PH Plus masih berfungsi dengan baik dan dapat melaksanakan program pembangunan dan program untuk kesejahteraan rakyat.

Malah katanya, Sabah terus menerima pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara serta pendapatan negeri bertambah.

“Kita akui ada beberapa isu seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik tetapi ini bukan masalah baru. Namun kerajaan tidak berdiam diri dan sedang ambil tindakan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Bagi saya, kerajaan tidak perlu berbuat sesuatu secara spesifik untuk mematahkan cubaan pihak tertentu menggugat Sabah kerana kerajaan adalah stabil. Apa yang penting, kerajaan terus menerangkan kepada rakyat tentang hala tuju negeri ini, buktikan apa yang dicakapkan dan dilaksanakan.

“Rakyat yang menerima mesti tahu menilai. Kami semua teruskan buat kerja dan laksanakan tanggungjawab mentadbir dan menyantuni rakyat, memastikan rakyat Sabah sentiasa selamat sejahtera,” katanya.

Dalam menghadapi PRN17, politik Sabah perlu dilihat secara matang dan objektif. Persepsi semata-mata tidak boleh dijadikan asas untuk menilai kestabilan sebuah kerajaan.

Kestabilan tidak diukur pada ‘bunyi bising’ di media sosial, tetapi pada keupayaan sesebuah kerajaan berfungsi untuk rakyat. Akhirnya, mandat tetap di tangan rakyat.

VOICE OF ASIA Editorial Note

At VOICE OF ASIA, we believe in amplifying the real voices of the people—especially those too often overlooked in national discourse. The following article, originally published by Sinar Harian, highlights a perspective from Sabah that resonates with our editorial mission: to go beyond headlines and politics, and shine a light on what truly matters to everyday Malaysians.

This article was originally published by Sinar Harian and has been republished in full on VOICE OF ASIA with due credit. The original version can be found here

Our Shows

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img

Most Popular

Recent Comments

DarrickUnwix on ASIA AEROTECHNIC